My Add

Sunday 3 June 2012

Diplomat yakin Malaysia terus capai kejayaan

KUALA LUMPUR, SABTU, 02 Jun, 2012: Doyen Kor Diplomatik Nasser Salman Alaboodi yakin Malaysia akan terus melakar kejayaan besar dalam usahanya ke arah mencapai status negara maju.

Beliau berkata, Malaysia mampu berbuat demikian melalui bimbingan dan kebijaksanaan pemerintahan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah serta kesungguhan usaha kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketika menyampaikan ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di sini hari ini, Alaboodi juga berkata Malaysia, yang terkenal sebagai sebuah negara yang menikmati kestabilan sosial, keharmonian hubungan antara kaum dan pertumbuhan kukuh ekonomi, terus memainkan peranan unik dan penting dalam hal ehwal antarabangsa dan serantau.

“Kami dapati semua ini adalah hasil daripada kepimpinan bijaksana dalam bidang politik dan komitmen serta penyertaan seluruh rakyat Malaysia.

“Tidak syak lagi, sikap saling menghormati, bertolak ansur, patuh terhadap undang-undang dan kesediaan untuk membantu orang lain, tanpa mengira bangsa dan agama, telah menyatupadukan negara ini dan menjadikan Malaysia sebuah negara unik," kata Alaboodi, yang juga Duta Besar Emiriyah Arab Bersatu ke Malaysia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment