My Add

Tuesday 26 June 2012

Hanya kad pengenalan MyKAS ada tarikh luput

KUALA LUMPUR, SELASA, 26 Jun, 2012: Hanya kad pengenalan jenis MyKAS berwarna hijau diberi kepada mereka bertaraf pemastautin sementara mempunyai tarikh luput iaitu tidak melebihi lima tahun daripada tarikh pengeluaran kad itu, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini. 

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong, berkata dua jenis kad pengenalan lain iaitu MyKAD berwarna biru diberikan kepada penduduk bertaraf warganegara dan MyPR berwarna merah pula diberi kepada pemastautin tetap dan tidak mempunyai tarikh luput.

"MyKAS diberikan kepada seseorang yang memasuki Malaysia secara sah dan dibenarkan menetap di Malaysia melalui pas imigresen atau permit sah bagi tempoh 12 bulan dan ke atas.

"MyKAS turut diberi kepada seseorang yang dilahirkan di Malaysia tetapi taraf kewarganegaraannya tidak dapat ditentukan atau kata lain 'stateless'," katanya ketika menjawab soalan M Manogaran (DAP-Telok Intan) yang bertanya adakah kerajaan mengeluarkan kad pengenalan yang mempunyai tarikh luput. 

Lee berkata sehingga 19 Jun lalu, 40,117 individu diberikan MyKAS. 

"Daripada jumlah ini, 1,313 MyKAS di bawah program kad pintar yang mempunyai ciri keselamatan tinggi dan jumlah MyKAS pintar ini dikeluarkan sehingga Mei lalu," katanya. 

Menjawab soalan tambahan Manogaran, Lee berkata kerajaan tidak sewenang-wenangnya memberikan MyPR kepada warga asing yang memasuki negara ini . 
Beliau berkata, MyPR hanya diberikan kepada warga asing yang sudah diberi taraf pemastautin tetap dan pemberian MyPR itu adalah berdasarkan peraturan negara ini. 

Katanya, antara peraturan tersebut ialah warga asing itu perlu mengemukakan permit masuk dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia dan dokumen asal berkaitan serta salinannya seperti pasport dan sijil anak angkat. 

"Sijil kelahiran asal dan salinan dikemukakan bagi mereka yang lahir di negara ini," katanya 

Sementara itu, Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) ketika mencelah menimbulkan isu kad pengenalan yang sudah lama siap tetapi tidak dituntut oleh pemiliknya. 

"Sekarang ini banyak tak tuntut kad pengenalan bila siap, bertimbun banyaknya. Cadangan saya, seseorang yang mohon dan ganti (kad pengenalan) diberi tempoh seminggu untuk menuntutnya... kalau tak ambil bakar sahaja. 

"Cara nak disiplin orang mudah sahaja, manusia memang macam tu... simpan kad pengenalan bertahun, banyak cantik punya muka," katanya. 

Beliau turut mencadangkan pelarasan maklumat individu menggunakan teknologi maklumat antara pihak Jabatan Pendaftaran Negara, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia dapat dilaksanakan secepat mungkin. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment