My Add

Monday 4 June 2012

KTMB, PNM perluas kempen membaca dalam komuter

JOHOR BAHRU, ISNIN, 04 Jun, 2012: Satu sudut khas dilengkapi bahan bacaan akan diwujudkan tidak lama lagi di gerabak dan stesen komuter utama bagi membudayakan amalan membaca dalam pengangkutan awam.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D"Cruz berkata, sudut khas itu akan dilengkapi bahan bacaan pelbagai bahasa bagi menarik minat kira-kira empat juta pengguna komuter setiap bulan.

"Usaha di antara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) itu dijangka dijalankan pada tahun ini bagi meningkatkan dan memupuk amalan membaca, terutama di kalangan generasi muda.

"Stesen utama yang telah dikenal pasti untuk diwujudkan sudut khas itu termasuklah KL Sentral, Seremban, Klang, Kajang, Subang Jaya, Sungai Buloh dan Rawang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Program Mari Membaca 1Malaysia: Jauh Perjalanan Luas Pengetahuan, yang merupakan siri keempat sejak dilaksanakan pada Nov 2009, ketika menaiki keretapi Sinaran Sutera dari Stesen Sentral Kuala Lumpur ke Stesen Sentral Johor Baharu hari ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment