*MALAYSIA akan menerima sepasang panda menerusi perjanjian yang bakal ditandatangani antara kerajaan dan CWCA Jumaat ini.
KUALA LUMPUR, ISNIN, 11 Jun, 2012: Malaysia akan menerima sepasang panda menerusi perjanjian yang bakal ditandatangani antara kerajaan dan Persatuan Pemeliharaan Hidupan Liar China (CWCA) Jumaat ini.
Menurut Unit Komunikasi Korporat Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, perjanjian dalam bidang pemeliharaan panda dengan China itu mencerminkan komitmen Malaysia dalam menyokong usaha negara berkenaan menambah bilangan spesies terancam tersebut yang kini hanya berjumlah 1,600 ekor.
Katanya, sokongan itu juga selaras dengan Sasaran Aichi 2010 di bawah Konvensyen Kepelbagaian Biologi yang menyokong usaha pemeliharaan untuk mengelak kepupusan sesuatu spesies.
Tambahnya, kerjasama itu juga atas permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Perdana Menteri China, Wen Jiabao sewaktu merasmikan Taman Industri Malaysia-China di Nanning, China, baru-baru ini.
"Hubungan dua hala sedia ada antara Malaysia dengan China yang dimulakan sejak zaman pentadbiran Allahyarham Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri akan menjadi lebih erat melalui perjanjian ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, kerjasama itu juga membolehkan negara menjalankan penyelidikan pemeliharaan panda sekali gus meningkatkan kepakaran tempatan melalui pemindahan teknologi dengan China.
''Kepakaran tempatan akan ditingkatkan melalui pemindahan teknologi yang akan dikongsi oleh China terutama dalam pembiakan artifical insemination, kajian genetik dan perilaku panda,'' ujarnya.
Pada masa sama kata kenyataan itu, kehadiran panda itu juga akan meningkatkan kesedaran orang awam mengenai usaha pemeliharaan haiwan tersebut dan secara tidak langsung menghargai keunikan dan kepentingan melindungi hidupan liar dan biodiversiti di Malaysia.
"Di samping itu, satu pertandingan peringkat kebangsaan untuk menamakan panda tersebut juga akan diadakan dalam menggalakkan rakyat Malaysia mengenali haiwan unik ini.
"Panda ini bakal ditempatkan di sebuah ruang pameran khas di Taman Wetland, Putrajaya," kata kenyataan itu. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment