My Add

Tuesday 12 June 2012

Penggubal dasar perlu berani’

*RAJA NAZRIN bertemu dengan sebahagian peserta selepas Siri Syarahan Razak dianjurkan Razak School of Government, di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Saifullizan Tamadi

Oleh Nor Fariza Ramlan
KUALA LUMPUR, ISNIN, 11 Jun, 2012: Penggubal dasar masa kini perlu lebih berani dan memberi komitmen sepenuhnya dalam membuat keputusan bagi memastikan kepentingan negara terus terjaga sejajar perubahan masa, titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.

“Kita tidak boleh leka dan terus bergantung kepada formula pentadbiran lama, sebaliknya bersedia menghadapi cabaran urus tadbir negara masa kini dengan lebih tepat, realistik serta bersemangat.

“Hari ini, kita berada di tengah-tengah usaha pengubahsuaian dasar dan diharapkan momentum itu berterusan supaya pembaharuan berkenaan terus kekal serta berkesan,” titahnya pada Siri Syarahan Razak dianjurkan Razak School of Government (RSOG) di sini, hari ini.
.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Titahnya, pada masa ini, masyarakat memberikan lebih perhatian dan pengawasan terhadap tadbir urus negara.

“Institusi penting seperti perkhidmatan awam, polis, tentera, badan kehakiman termasuk suruhanjaya antirasuah kini berada di bawah tekanan yang besar untuk melaksanakan tugas dengan baik.

“Perkara ini amat baik dan dialu-alukan bagi memastikan kepentingan tadbir urus yang berkesan serta mewujudkan kerajaan jujur dan bersih,” katanya. 

Berikutan itu, Raja Nazrin bertitah, amat penting bagi pegawai awam untuk terus memperbaiki penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat ke arah lebih berkesan, cekap, saksama serta beretika.

“Tiada mana-mana kerajaan dalam dunia ini yang mempunyai monopoli ke atas kebijaksanaan dan mempunyai pandangan serta keputusan sempurna, pasti ada melakukan kesilapan ketika pemerintahan mereka.

“Tetapi hakikatnya, negara kita berjaya untuk terus berkembang selama lebih 55 tahun, mempelajari kesilapan lalu bukan saja menangani perubahan malah mengenai nilai masyarakat ini sendiri,” katanya.

Titahnya, bagaimanapun masih ada sesetengah pihak mengkritik tanpa asas mencukupi, memalsukan maklumat dan sengaja menjejaskan kredibiliti institusi pemerintahan.

“Perbuatan ini bukan saja menjejaskan reputasi serta moral mereka berkhidmat dalam perkhidmatan awam tetapi juga boleh memusnahkan institusi negara untuk berfungsi kepada masyarakat, keadilan serta selenggara undang-undang,” katanya. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment