My Add

Wednesday 27 June 2012

MoU Malaysia-Singapura perangi dadah

SINGAPURA, SELASA, 26 Jun, 201: Dalam usaha memerangi jenayah berkaitan dadah merentas negara, Kementerian Dalam Degeri Singapura dan Malaysia hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Penguatkuasaan Dadah.

Majlis penandatanganan MoU itu melambangkan iltizam kedua-dua negara ke arah matlamat bersama mewujudkan masyarakat bebas dadah dan pentingnya kerjasama merentas sempadan bagi mencapai tujuan tersebut.

Ia mengesahkan kerjasama erat di antara agensi penguat kuasa kedua-dua negara dalam memerangi kumpulan-kumpulan perancang jenayah dadah di negara masing-masing.

MoU itu ditandatangani oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Singapura, Teo Chee Hean dan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, di Kementerian Dalam Negeri di sini, hari ini.

Bidang utama yang menjadi tumpuan di bawah MoU ini termasuk mengukuhkan lagi keupayaan agensi penguat kuasa menerusi latihan bersama dan pertukaran lawatan selain meningkatkan kemampuan penguatkuasaan melalui kekerapan penyiasatan dan operasi bersama.

Terdahulu dalam ucapannya, Teo berkata, Malaysia dan Singapura menikmati kerjasama yang sangat baik sepanjang dekad yang lalu dalam menjalankan kira-kira 50 operasi bersepadu terhadap ancaman dadah.

Beliau menyebut bahawa dengan termeterainya MoU itu telah menguatkan lagi hubungan di samping mewujudkan asas kukuh bagi kedua-dua negara bergerak ke hadapan dalam membanteras masalah dadah.

"Ia memberi isyarat kuat terhadap mereka yang berurusan dengan dadah, mereka yang ingin menyebabkan kerosakan kepada rakyat kedua-dua belah negara bahawa kita berazam meningkatkan kerjasama menghapuskan mereka dan ancaman daripada dadah," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, wujud kesedaran bahawa isu yang dihadapi sangat rumit.

"Dunia kini menjadi sangat tidak bersempadan dan tidak ada negara, agensi atau kementerian yang dapat mengatasi isu jenayah merentas negara. "Jadi kita bermula dengan dadah...ia bukan sahaja sekeping kertas yang kita tandatangani, ia lebih kepada mendapatkan hasilnya.

"Berdepan dengan dunia yang begitu kompleks, tetapi dengan adanya agensi dan semangat politik yang betul bagi pemimpin kedua-dua buah negara, saya percaya kita boleh mengatasinya, kerana ia adalah kejahatan yang mesti diperangi sehingga ke masalah akar umbi," katanya.

Ketika menjawab soalan media, Teo berkata, kedua-dua negara bekerjasama dalam pelbagai isu dan soal bahaya dadah ini adalah salah satu daripada isu tersebut.

"Saya fikir, apa yang berlaku ialah bahawa perdagangan dadah, oleh kerana ia begitu menguntungkan, ia begitu diantarabangsakan...dan dadah diangkut ke seluruh dunia...sempadan Singapura dan Malaysia juga tidak terkecuali," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment