My Add

Monday 11 June 2012

MTRK gesa tubuh suruhanjaya siasatan

*ANGGOTA MTRK mengadakan demonstrasi aman mendesak pihak polis dan SPRM membuat siasatan berkaitan akaun induk melibatkan Anwar Ibrahim di Machang, semalam.

MACHANG, AHAD, 10 Jun, 2012: Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) kawasan Machang hari ini membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang bagi mendesak supaya suruhanjaya ditubuhkan bagi menyiasat punca aset dan wang sebanyak RM3 bilion yang dikatakan dikawal oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketuanya, Kamaruddin Ab. Kadir berkata, siasatan tersebut dibuat kerana pihaknya yakin terdapat penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan rasuah dalam usaha untuk mengumpulkan 'harta' itu sekiranya ia benar-benar berlaku.

Beliau berkata, ini jelas kerana kesemua 20 akaun yang dikawal oleh Anwar dibuka ketika beliau menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri bermula dari tahun 1992 sehingga 1997.

"Disebabkan itu kita mahu sebuah suruhanjaya ditubuhkan bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan ini agar rakyat tidak tersalah memilih pemimpin yang korup, jika ini berlaku ia membahayakan keselamatan negara dan rakyat.

"Kami juga mendesak supaya satu siasatan dilakukan ke atas kenyataan Ahli Dewan Negara, Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor bahawa Anwar telah memberikan projek bernilai RM15 bilion kepada sekolah Cina tanpa tender, kami bukan menentang peruntukan sebanyak itu tetapi cara kontrak itu diberikan yang menimbulkan persoalan," katanya semasa bersama ahli-ahli MTRK kawasan tersebut mengadakan perhimpunan aman berhampiran Padang Majlis Daerah Machang, di sini.

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sedang menyemak status siasatan berhubung akuan berkanun bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Murad Khalid mengenai pemilikan 20 akaun induk oleh Anwar.

SPRM juga tidak menolak kemungkinan kes pemilikan akaun induk Anwar bernilai RM30 bilion yang pernah dirujuk kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) itu kali terakhir berada di bawah siasatan pasukan polis.

Kamaruddin berkata, pihaknya juga mendesak BNM supaya tampil dan menyatakan daripada mana datang punca wang dalam akaun tersebut dan ke mana ia dialirkan.

"Kami mendesak pihak polis, SPRM dan BNM secara tegas dan segera kerana ia melibatkan wang rakyat dan kepentingan awam.

"Rakyat mahu tahu perkara yang sebenar berlaku berkaitan dengan isu ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment