My Add

Tuesday 26 June 2012

Musyawarah perlu jadi budaya semua kaum: Ahmad Badawi

KUALA LUMPUR, SELASA, 26 JUN, 2012: Musyawarah perlu dijadikan satu budaya oleh semua kaum di negara ini bagi mencari kesepakatan berhubung pelbagai isu termasuk agama dan politik, kata bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata dengan adanya musyawarah, pendapat dan idea yang dicapai boleh dijadikan dasar untuk pegangan bersama.

Langkah ini juga akan dapat melahirkan rakyat Malaysia yang bersatu padu, bekerjasama dan saling memahami antara satu sama lain bagi kebaikan negara, katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar 'Dilema Politik Umat Islam di Malaysia: Memahami Realiti dan Cabaran Semasa', di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sini hari ini.

Abdullah yang juga Pengerusi IKIM, berkata pendekatan musyawarah pernah diambil bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein ketika mempengerusikan Majlis Gerakan Negara selepas peristiwa 13 Mei, apabila Allahyarham memanggil semua pihak untuk duduk berbincang.

Terdahulu ketika berucap, Abdullah berkata persefahaman politik dalam kalangan umat Islam amat penting dalam menghadapi cabaran dan realiti semasa dalam negara.

Katanya ketika meneraju negara sebagai Perdana Menteri, beliau telah memperkenalkan pendekatan Islam Hadhari untuk membina persefahaman dalam kalangan umat Islam serta memperkenalkannya kepada bukan Islam kerana prinsipnya yang sejagat untuk membawa pembangunan dan kemajuan kepada masyarakat dan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pula telah mengetengahkan konsep Wassatiyyah atau kesederhanaan yang menolak sebarang pendekatan bersifat radikal, rasis dan melampau, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment