My Add

Wednesday 13 June 2012

Sokong, ambillah bahagian bina persekitaran selamat: Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggalakkan rakyat Malaysia untuk menyokong usaha-usaha kerajaan dan mengambil bahagian dalam membina persekitaran, masyarakat dan seterusnya negara yang lebih selamat. 

Beliau berkata, banyak usaha yang sudah dilakukan boleh dibawa ke tengah, namun kerajaan akan terus mencari kecemerlangan dalam bidang itu untuk memastikan keselamatan rakyat.

"Anda mungkin boleh meneka apakah isu politik yang paling penting bagi rakyat Malaysia: ekonomi. Tetapi tahukah anda apakah isu yang kedua paling penting? Jawapannya adalah: jenayah.

"Berita jenayah mendapat liputan penting dalam media dan secara semulajadinya, membawa kebimbangan kepada semua rakyat Malaysia. Oleh sebab itulah, salah satu pencapaian negara yang kita harus banggakan adalah kedudukan negara kita pada Indeks Keamanan Global yang mana Malaysia telah diletakkan sebagai negara paling selamat di Asia Tenggara," katanya. 

Najib berkata demikian dalam entri terbaru beliau bertajuk 'Memelihara Keselamatan Dengan Mengurangkan Jenayah dan Meningkatkan Prestasi Polis Diraja Malaysia (PDRM)' dalam blog www.1Malaysia.com.my 

Najib berkata, walaupun indeks berkenaan menunjukkan kedudukan Malaysia sebagai negara paling selamat, namun tiada ruang bagi kerajaan untuk berpuas hati dalam hal itu kerana akan sentiasa ada sekumpulan kecil yang akan melanggar peraturan masyarakat demi untuk kepentingan mereka sendiri. 

Beliau turut menjelaskan mengenai apa yang sedang kerajaan lakukan sekarang untuk mengekalkan momentum iaitu melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) membanteras jenayah yang mempunyai beberapa sasaran khusus untuk mengurangkan jenayah selain bermatlamat untuk meningkatkan prestasi PDRM. 

"NKRA ini bertujuan untuk mengoptimumkan sumber dan memberikan tumpuan kepada jenayah biasa yang tertentu. Sebagai contoh, kecurian kenderaan, yang merupakan jenayah yang paling kerap berlaku, telah dikenal pasti dan ditangani dengan mengadakan rondaan yang lebih kerap di kawasan perumahan, tempat meletak kenderaan serta penguatkuasaan terhadap bengkel haram yang menyumbang kepada kecurian kenderaan," katanya. 

Najib berkata, negara ini bernasib baik kerana terlepas daripada jenayah besar, berkat daripada kecekapan pasukan anti pengganas di PDRM. 

Penyelidikan menunjukkan bahawa antara tahun 2006-2009 oleh Laporan Tahunan NKRA jenayah jalanan merupakan faktor utama yang menyumbang kepada keseluruhan jenayah yang dilakukan di Malaysia, katanya. 

Beliau berkata, banyak daripada kemajuan dalam mengurangkan jenayah jalanan merupakan hasil daripada pengembangan Program-program Kehadiran PDRM dan Bandar Selamat, dengan mengambil dan menempatkan lebih ramai kakitangan bagi rondaan, serta menaik taraf dan memasang infrastruktur baru. 

"Dari segi kakitangan, kita kini mempunyai lebih tiga juta sukarelawan RELA yang bekerja sepanjang masa untuk memastikan bandar-bandar kita selamat. Pihak polis juga turut meningkatkan kekerapan berkomunikasi dengan penduduk tempatan dan mengadakan perbincangan meja bulat bersama NGO (badan bukan kerajaan) seperti Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF). 

"Dalam pasukan pula, Jadual Liga Balai terus memberikan motivasi kepada pegawai-pegawai untuk memberikan prestasi kerja yang berkualiti secara konsisten demi untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat Malaysia," katanya. 

Bagi menampung jumlah tenaga kerja yang meningkat, beliau berkata kerajaan telah melengkapkan balai polis dan pusat kawalan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan Sistem Pemantauan Bandar Selamat untuk memantau aktiviti jenayah. 

"Pada tahun lepas, lebih 8,000 tiang lampu dipertingkatkan pencahayaannya, 1,300 cermin keselamatan dipasang dan 100km pagar keselamatan dan pemisah jalan dibina di seluruh negara," katanya. 

Hasilnya, Najib berkata Malaysia mengalami penurunan yang ketara dalam jenayah jalanan (39.7 peratus) serta pada Indeks Jenayah (11.1 peratus) dengan lebih 8,000 rampasan dan tangkapan yang telah dibuat menerusi pelbagai Operasi Kebangsaan. 

"23 peratus daripada tangkapan itu telah dihadapkan ke mahkamah, melebihi sasaran 2011 kami. Ini menyebabkan peningkatan dalam persepsi orang ramai terhadap prestasi dan perkhidmatan polis secara keseluruhannya," katanya.

Walaupun begitu, beliau berkata kerajaan sedar bahawa orang ramai mempunyai persepsi bahawa jenayah masih berleluasa. 

"Berikutan dengan itu, kami terus berusaha untuk mendengar dan menangani kebimbangan anda kerana sebagai kerajaan kami juga mempunyai tanggungjawab untuk mengurangkan percanggahan antara persepsi orang ramai dengan keadaan realiti mengenai jenayah yang sudah bertambah baik," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment