My Add

Wednesday 13 June 2012

Pendaftaran 2 produk rawat disfungsi erektil dibatalkan

KUALA LUMPUR, RABU, 13 Jun, 2012: Kementerian Kesihatan membatalkan pendaftaran dua produk rawatan disfungsi erektil iaitu Kapsul Benkwat Ginseng Plus 500 mg dan JT Cordyceps Mycelium selepas dikesan mengandungi bahan racun berjadual yang tidak dibenarkan dalam ubat tradisional. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman, berkata pembatalan itu dibuat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah pada 31 Mei lalu kerana produk Kapsul Benkwat Ginseng Plus dikesan mengandungi yohimbie manakala produk JT Cordyceps Mycelium mengandungi thiodimetysildenafil.

"Yohimbine adalah sejenis alkaloid yang biasanya diperoleh daripada tumbuhan Puasinystalia Yohimbe dan digunakan dalam rawatan disfungsi erektil. Ia tidak dibenarkan dalam ubat yang dikelaskan sebagai ubat tradisional.

"Penggunaan yohimbine secara tidak terkawal boleh menyebabkan kesan serius seperti peningkatan tekanan darah dan kadar denyutan jantung, keresahan, imsonia, halusinasi dan mania. 

"Dengan itu, ia berisiko tinggi kepada wanita mengandung, pesakit darah tinggi, jantung, buah pinggang atau hati," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Dr Hasan berkata, thiodimethylsildenafil pula adalah analog sildenafil dan tidak dibenarkan dalam ubat kategori tradisional kerana memberi kesan serupa dengan sildenafil yang diguna dalam rawatan disfungsi erektil. 

Penggunaan sildenafil tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat berbahaya. 

Ia juga memberi kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung sert berisiko tinggi kepada pesakit angina yang mengambil ubat nitrate. 

"Pengguna dinasihat berhenti menggunakan kedua-dua produk ini dengan serta merta dan mendapatkan nasihat dari pakar kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan buruk," katanya. 

Dr Hasan juga meminta mereka yang mempunyai stok produk itu supaya menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaan dengan serta merta kerana pemilikan untuk jualan produk itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. 

Individu yang melakukan kesalahan mengikut peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya. 

"Selain itu, syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," katanya. 

Dr Hasan berkata, orang ramai boleh menghubungi Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di talian 03-78835546/8545 atau email kepada bpfk@bpfk.gov.my untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment