My Add

Tuesday 26 June 2012

Pembangunan modal insan tidak diabaikan


*SHAFIE Apdal menyampaikan kelulusan masuk UniKL Mara kepada pelajar di Semporna, Sabah, semalam.

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
SEMPORNA, isnin, 25 Jun, 2012: Kerajaan tidak pernah sekali-kali mengabaikan pembangunan modal insan meskipun usaha berterusan giat dilakukan dalam membangunkan infrastruktur luar bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, usaha pembangunan modal insan sentiasa diberi keutamaan dan dilaksanakan selaras dengan pembangunan infrastruktur.

"Kerangka di peringkat kementerian bukan sahaja pembangunan fizikal yang ditekankan tetapi pembangunan modal insan juga ditekankan dan diadunkan sekali," katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersama pemimpin sempena hari guru di sini malam tadi.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Seri Nasir Tun Sakaran; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Datuk Ramli Marhaban dan ADUN Sulabayan, Datuk Harman Mohamad.

Pada Majlis Sambutan Hari Syabas di Sekolah Menengah Kebangsaan Kabogan 2 di sini hari ini pula, Mohd. Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna mengumumkan peruntukan RM105,000 bagi membina dewan di sekolah berkenaan.

Selain itu, dalam mengatasi masalah sekolah berkenaan yang menumpang di Sekolah Kebangsaan Bubul sejak 1999, beliau sendiri akan membawa perkara itu kepada Kementerian Pelajaran.

Sementara itu, semasa bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Rakan Alam Sekitar peringkat Parlimen Semporna di sini, Mohd. Shafie yang juga Naib Presiden UMNO menyelar sikap parti pembangkang yang kebelakangan ini cuba membudayakan nilai negatif termasuk mengajar rakyat supaya tidak menghargai budi dan jasa orang lain.

Beliau berkata, budaya negatif seperti itu jika tidak ditegur dan diperbetulkan boleh membawa implikasi buruk kepada pemikiran rakyat bukan sahaja dalam aspek hubungan rakyat dengan kerajaan atau pemimpin tetapi juga hubungan sesama masyarakat.

"Budaya yang diamalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ialah budaya membela dan membantu rakyat serta membangunkan negara kita manakala pembangkang pula menanamkan nilai-nilai buruk supaya tidak mengenang budi," katanya.

Menurutnya, pembangkang juga menyogok budaya negatif lain seperti tidak perlu membayar hutang dan berani menabur janji meskipun mengetahui mereka tidak akan mampu mengotakan janji.

Katanya, kerajaan Selangor yang dipimpin Pakatan Pembangkang menjanjikan 20 perkara kepada rakyat negeri itu pada pilihan raya umum lalu, namun sehingga ke hari ini, satupun janji berkenaan belum ditunaikan dan ia membuktikan kaedah berpolitik Pakatan Pembangkang semata-mata untuk meraih undi.

Mengulas mengenai tiga diplomat dari Suruhanjaya Tinggi Singapura di Malaysia yang berada di lokasi perhimpunan haram Bersih 3.0 pada 28 April lepas, Shafie berkata, jika perkara itu benar berlaku, ia amat dikesalkan kerana dianggap mencampuri urusan dalam negara lain.

"Saya ingat dalam resolusi Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kita tidak harus terbabit dalam gelanggang politik negara jiran sama ada menghasut atau membantu jentera politik pembangkang," katanya.

Menyentuh program Rakan Alam Sekitar anjuran Jabatan Alam Sekitar itu, Shafie menyarankan agar jabatan berkenaan menganjurkan program itu secara lebih kerap agar kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar di laut atau di darat di kalangan masyarakat Semporna terus meningkat dan menjadi budaya.

Pada majlis berkenaan, empat sekolah di Semporna masing-masing menerima sumbangan RM5,000 daripada jabatan itu untuk melaksanakan pelbagai aktiviti alam sekitar. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment