My Add

Sunday 3 June 2012

Pemilik rumah pangsa dapat subsidi

MELAKA, AHAD, 03 Jun, 2012: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, harga jualan baru kepada 344 penyewa rumah pangsa Pantai Peringgit di sini melibatkan subsidi berjumlah RM10.11 juta.

Beliau berkata, harga baru rumah pangsa setinggi lima tingkat itu ditetapkan antara RM25,000 dengan RM29,000 seunit berbanding harga asal antara RM25,000 dan RM35,000 seunit.

Katanya, harga jualan terbaru rumah pangsa yang telah dibina sejak 16 tahun lalu itu adalah 50 peratus lebih rendah daripada nilai harga jualan semasa.

"Keputusan ini diambil ekoran permohonan rayuan pengurangan harga jualan sebanyak dua kali yang dikemukakan penduduk di mana kebanyakan mereka merupakan golongan berpendapatan rendah," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan surat tawaran penjualan rumah pangsa itu di sini hari ini.

Beliau berkata, langkah menilai semula harga rumah pangsa di bawah Lembaga Perumahan Melaka itu adalah bagi membolehkan penyewa memiliki rumah tanpa membebankan mereka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment