PUTRAJAYA, SELASA, 26 Jun, 2012: Berkuat kuasa 1 Ogos tahun ini, Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi di seluruh negara akan mengguna pakai set peraturan yang sama bagi urusan memfailkan kes sivil.
Peraturan-Peraturan Mahkamah Rendah 1980 dan Peraturan-Peraturan Mahkamah Tinggi 1980, yang digabungkan ke dalam satu set peraturan yang memperuntukkan prosedur mahkamah lebih mudah, akan diwartakan Jumaat ini dan dikuatkuasakan mulai 1 Ogos.
Presiden Badan Peguam Malaysia yang juga anggota Jawatankuasa Peraturan, Lim Chee Wee berkata, prosedur baru itu memberi penekanan terhadap keadilan, kesederhanaan dan keseragaman.
Katanya, peraturan itu mempermudahkan prosedur mahkamah dan mengetepikan perkara teknikal dan aplikasi yang tidak perlu.
Dokumen berkenaan ditandatangani hari ini oleh Pengerusi Jawatankuasa Peraturan dan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria serta para wakil Jabatan Peguam Negara, Badan Peguam Malaysia, Persatuan Peguam Sabah dan Persatuan Peguambela dan Peguamcara Sarawak.
Pengerusi Jawatankuasa Adhoc Peraturan Peguam, Tan Sri Cecil Abraham berkata, peraturan baru ini, yang akan dikenali sebagai Peraturan-Peraturan Mahkamah, akan mengurangkan cara untuk memulakan prosiding undang-undang daripada empat kepada dua kaedah.
Kini, empat kaedah yang boleh digunakan peguam untuk memfailkan kes sivil di mahkamah ialah melalui writ saman, saman pemula, petisyen dan usul pemula, manakala peraturan baru yang disediakan pula mengurangkan kaedah itu kepada writ saman dan saman pemula sahaja.
Abraham berkata, dengan adanya peraturan baru itu, seseorang peguam lebih mudah membuat pertimbangan kaedah mana yang hendak beliau gunakan dan sebutan kes sivil tidak lagi diadakan di Mahkamah Rendah.
Abraham berkata, Badan Peguam Malaysia akan menganjurkan seminar untuk memberi penjelasan kepada anggotanya tentang peraturan itu dan orang ramai juga mempunyai capaian terhadap peraturan berkenaan kerana ia akan dipamerkan dalam laman web Badan Peguam Malaysia dan badan kehakiman sejurus diwartakan.
Kata beliau, Badan Peguam Malaysia mencetuskan idea tentang peraturan tunggal itu kira-kira lima tahun lepas dan mendapat sambutan baik daripada pentadbir keadilan.
"Setelah banyak kali bermesyuarat dan memperhalusi dokumen itu, akhirnya kami berjaya menyediakan set peraturan berkenaan," katanya.
Beliau berkata, Singapura, yang mengamalkan sistem perundangan yang serupa dengan Malaysia, memperkenalkan peraturan itu kira-kira lima tahun lepas. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment