My Add

Wednesday 27 June 2012

Pesta NGO hargai sumbangan pertubuhan bukan kerajaan

*RAIS Yatim (tengah) bersama sebahagian pengamal media menunjukkan isyarat 1Malaysia pada selepas Majlis Perjumpaan Penulis, Jurufoto dan Media Negeri Sembilan di Seremban, semalam.

SEREMBAN, SELASA, 26 Jun -==, 2012: Pesta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan diadakan 31 Ogos ini bagi menghargai sumbangan mereka.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, perhimpunan tersebut juga bertujuan mengeratkan hubungan sesama NGO dan di samping menyatakan perjuangan mereka dalam bersama-sama membangunkan negara merdeka ini.

''Saya yakin ini merupakan usaha yang amat baik untuk menyatukan peranan sesama NGO bagi menggalas tanggungjawab membela nasib rakyat seiring dengan hasrat kerajaan hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perjumpaan Penulis, Jurufoto dan Media Negeri Sembilan di sini hari ini.

Bagaimanapun Rais menjelaskan, sebahagian besar NGO di negara ini didapati tidak aktif, maka pihak kementerian perlu mengenal pasti mana yang masih bergerak sebelum pesta berkenaan dapat dianjurkan.

''Ini kerana kita perlu memperhalusi dan membahagikan NGO mengikut sektornya, sebagai contoh budaya, profesional mahupun badan politik kerana MIC, MCA dan UMNO turut tergolong dalam pertubuhan itu.

''Kita tidak boleh gabungkan semua sekali kerana NGO ini terdiri daripada badan sukarela, amal dan banyak lagi. Oleh itu setelah kita klasifikasikan pertubuhan yang saya sebutkan tadi, maka kita akan wujudkan satu pesta dalam suasana hari raya.

Dalam pada itu, Rais turut meminta semua NGO agar memainkan peranan dalam menyuburkan nilai murni dalam kalangan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama mahupun umur.

''Kita harap NGO dapat membantu menyegarkan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat menerusi aktiviti dan kegiatan kerana mereka amat berpengaruh.

''Kadang-kadang masyarakat mudah lupa tentang nilai murni serta budi bahasa yang mampu mencerminkan budaya kita," ujarnya.

Pada majlis tersebut, Rais turut menyampaikan sumbangan untuk mengerakkan aktiviti ahli kepada Kelab Wartawan Negeri Sembilan (iKwan), Kelab Akhbar Negeri Sembilan (Kelana) dan Persatuan Wartawan Cina Negeri Sembilan serta beberapa NGO di negeri ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment