My Add

Tuesday 5 June 2012

Petronas laksana projek pertama seumpamanya di dunia

*NAJIB mendengar penerangan daripada Shamsul Azhar Abbas (tiga kiri) mengenai Projek Gas Asli Cecair Terapung Petronas selepas merasmikan Persidangan Gas Sedunia 2012 di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, Presiden Kesatuan Gas Antarabangsa, Datuk Abdul Rahim Hashim (dua kiri).

Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
KUALA LUMPUR, ISNIN, 04 Jun, 2012: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) telah membuat keputusan untuk melaksanakan Projek Gas Asli Cecair Terapung di Sarawak, yang pertama seumpamanya di dunia apabila ia mula beroperasi pada 2015.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas berkata, projek berkenaan dipacu oleh strategi fundamental untuk membangunkan portfolio bekalan bagi memenuhi keperluan domestik dan tenaga dalam jangka panjang.

"Projek Gas Asli Cecair Terapung ini merupakan kebolehlaksanaan ekonomi bagi mendapatkan manfaat gas di medan-medan minyak konvensional kecil," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Gas Sedunia 2012 di sini hari ini.

Ia dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau, sebagai pembekal dan pengeluar gas utama, Petronas perlu memastikan tiada gangguan bekalan kepada pengguna.

Petronas adalah pengeluar ke-15 terbesar gas dan pengeksport gas asli cecair (LNG) kedua terbesar dunia.

Katanya, berikutan itu, Petronas mempunyai beberapa projek untuk dilaksanakan bagi memastikan syarikat itu terus mengekalkan peranannya pada masa depan .

Shamsul memberitahu, selain itu, Petronas juga telah memulakan Projek Train 9 yang membabitkan pertambahan 3.6 metrik tan setahun daripada kapasiti sedia ada 25.7 metrik tan setahun melalui Kompleks LNG Petronas di Bintulu.

Train 9 digunakan bagi mencari sumber-sumber gas yang tidak dimanfaatkan bagi pembangunan empat hingga lima medan-medan minyak yang tidak dibangunkan, selain melakukan pencarian penerokaan baru di Sarawak.

Shamsul menambah, sebagai persediaan untuk memenuhi permintaan domestik , Petronas turut membangunkan medan-medan Tangga Barat, Berantai dan North Malay Basin.

Katanya, syarikat minyak nasional itu juga bekerjasama dengan Projek LNG Gladstone di Australia yang akan menggunakan teknologi terbaru dunia untuk memproses arang batu metana kepada LNG, yang akan dihasilkan pada 2015.

Satu lagi kerjasama strategik dengan Progress Energy Resources Corporation yang berpangkalan di Kanada akan membangunkan aset gas syal di Kanada bagi tujuan eksport, ujar Shamsul. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment