My Add

Saturday 23 June 2012

PRU-13 bukan alasan tangguh haji - Najib

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 22 Jun, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Pas tidak sepatutnya menjadikan kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diadakan pada musim haji sebagai alasan untuk meminta ahli-ahlinya menangguhkan hasrat menunaikan ibadat berkenaan tahun ini.

Perdana Menteri menjelaskan, kewajipan menunaikan ibadat haji perlu diberi keutamaan melebihi urusan-urusan lain termasuk pilihan raya tanpa terikat kepada desakan daripada pihak lain termasuk Pas.

Menurutnya, persoalan kemungkinan pilihan raya umum diadakan semasa musim haji tidak sewajarnya dijadikan isu kerana ia pernah berlaku dalam sejarah negara.

''Saya tahu sebab pada masa itu ada Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian saya dinamakan sebagai calon pilihan raya umum tetapi saya tidak dapat menghubungi beliau yang berada di Mekah.

''Bagaimanapun beliau menerima hakikat tidak menjadi wakil rakyat kerana mengerjakan haji pada waktu itu," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal , Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Najib diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mendakwa Perdana Menteri berdosa sekiranya tidak memberi jaminan PRU-13 tidak akan diadakan pada musim haji.

Beliau berkata, kenyataan Mohamad itu menunjukkan seolah-olah beliau melebihi Tuhan dalam menentukan soal dosa dan pahala.

Sementara itu, Najib memberitahu, senario debat antara pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) dan pembangkang kebelakangan ini bukan satu budaya politik yang bersifat menyeluruh. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment