My Add

Wednesday 27 June 2012

Suruhanjaya Bebas Diraja tidak perlu tubuh siasat Scorpene

KUALA LUMPUR, SELASA, 26 Jun, 2012: Penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat isu pembelian dua kapal selam negara tidak perlu dilaksanakan kerana ia dibuat mengikut Tatacara Pelaksanaan Kontrak-Kontrak Perolehan Peralatan Pertahanan Negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, pembelian itu melibatkan pelbagai peringkat kelulusan termasuk Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Rundingan Harga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Selain itu, rujukan juga dibuat kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan kelulusan ke atas klausa-klausa kontrak tersebut.

“Semua terma dan kelulusan untuk rundingan terus dikemukakan kepada Kementerian Kewangan," katanya ketika menggulung ucapan penangguhan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) pada sidang Dewan Rakyat malam ini.

Isu pembelian dua kapal selam negara jenis Scorpene ditimbulkan pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Suara Rakyat Malaysia (Suaram) baru-baru ini yang antaranya mendakwa ia diperoleh dengan unsur rasuah, melibatkan penjualan rahsia negara dan kini dibicarakan di peringkat tribunal di negara pengeluar, Perancis.

Menjawab persoalan itu, kata Ahmad Zahid, kerajaan tidak akan memohon untuk menjadi pemerhati di Mahkamah Tribunal de Grande Istance kerana difahamkan tiada perbicaraan berlangsung berhubung perkara tersebut.

Sementara itu, katanya, kementerian sekali lagi menegaskan tidak pernah membayar sebarang komisen sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada mana-mana syarikat dalam perolehan aset berkenaan.

Menurutnya, perolehan itu dibuat secara runding terus selaras dengan tatacara perolehan kerajaan dengan syarikat pengeluar dari Perancis serta Sepanyol dan mendapat persetujuan kerajaan kedua-dua negara tersebut.

“Kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai (Nurul Izzah) bahawa dua buah kapal selam Scorpene dibeli dari syarikat Thint Asia (Tales International) adalah tidak benar," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, kata beliau, kementerian tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai dakwaan penjualan dokumen yang dikatakan rahsia oleh Syarikat Terasasi yang berpangkalan di Hong Kong kepada Syarikat Tales International didakwa bernilai 36 juta Euro (RM143 juta).

“Kerajaan juga berpendapat tidak perlu menubuhkan Jawatankuasa Tetap Parlimen untuk pertahanan kerana sebarang rancangan pembelian kelengkapan tentera dinyatakan dalam anggaran belanjawan pembangunan yang mana dibahas dan diluluskan Parlimen," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment