My Add

Tuesday 26 June 2012

Tidak dibenar tawar diri bertanding

KULIM, SELASA, 26 Jun, 2012: Kelab Pen yokong Barisan Nasional Parlimen Kulim/Bandar Baharu (KPBNKBB) mensyaratkan anggotanya tidak boleh menawar diri sebagai calon mana-mana parti politik pada pilihan raya umum akan datang.

Presidennya, Mokhtar Omar berkata, anggota kelab itu berikrar taat setia menyokong semua aktiviti Barisan Nasional (BN) Kulim/Bandar Baharu dalam usaha merampas semula kerusi parlimen kawasan tersebut dan dua kawasan dewan undangan negeri.

"Kami secara sukarela menawarkan diri untuk membantu secara ikhlas memenangkan semua calon yang bertanding atas tiket BN pada pilihan raya akan datang ini," katanya kepada Pengerusi BN Kulim/Bandar Baharu Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir pada satu pertemuan, di sini malam tadi.

Seramai 30 anggota jawatankuasa kelab tersebut bersama beberapa anggota jawatankuasa UMNO bahagian terbabit hadir pada pertemuan yang berlangsung hampir tiga jam itu.

Mokhtar adalah Ketua UMNO bahagian itu sebelum diambil alih bekas Menteri Penerangan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir kira-kira 35 tahun lalu.

Sementara itu, Abdul Aziz kagum dengan inisiatif yang dilakukan kelab tersebut kerana walaupun baru didaftarkan kira-kira tiga bulan lalu telah dapat menarik lebih 3,000 anggota.

"Kita yakin dengan kerja keras ahli jawatankuasa kelab juga isu transformasi yang diinisiatifkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak kini secara mendadak mengubah perspektif rakyat kembali menyokong kerajaan," katanya.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment