My Add

Tuesday 12 June 2012

Tubuh RCI siasat RM3 bilion

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
KUALA LUMPUR, ISNIN, 11 Jun, 2012: Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali mendesak kerajaan menubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat akuan berkanun bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid berhubung tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengawal 20 akaun induk bernilai lebih RM3 bilion.

Selain itu, beliau yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menuntut kerajaan membentangkan kertas putih mengenai skandal tersebut di Dewan Rakyat kerana pendedahan berkenaan melibatkan kepentingan awam.

"Abdul Murad sudah membuat akuan berkanun bahawa Anwar selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada ketika itu mengawal 20 akaun induk bernilai lebih RM3 bilion. Beliau juga mengakui mengurus sendiri lebih RM120 juta dana kepada organisasi dan kroni-kroni Anwar, ini dakwaan serius.

"Tapi kenapa sampai sekarang kerajaan tidak bertindak? Kerajaan jangan melindungi sesiapa dalam isu ini termasuk Abdul Murad. Beliau tidak boleh terlepas dengan memberi alasan terpaksa melakukan semua itu kerana takut kepada Anwar," katanya semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Ibrahim, Abdul Murad juga perlu tampil mendedahkan semua senarai nama dan pihak yang mendapat manfaat daripada tindakan Anwar jika benar beliau seorang yang bertanggungjawab.

Katanya, tindakan berdiam diri Anwar juga hanya menyebabkan masyarakat menganggap akuan berkanun itu fitnah.

Mengulas isu sama, Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) menempelak sikap membisu Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang sehingga kini tidak berani membuka mulut mendesak Anwar menjelaskan dakwaan berkenaan kepada rakyat.

Sedangkan, katanya, jika dakwaan itu melibatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) Kit Siang dan Karpal pasti menjadi jaguh bagi menuntut tindakan tegas kerajaan.

"Dulu saya antara anak muda yang kagum dengan pendirian politik Ipoh Timur dan Tasek Gelugor, tetapi kini apa sudah jadi?

"Permatang Pauh dikaitkan dengan skandal RM3 bilion dan yang mendedahkan ini bekas Penolong Gabenor Bank Negara, bukan individu biasa. Mana pergi suara Kit Siang dan Karpal?," soalnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment