My Add

Thursday 1 November 2012

Bina kabel dasar laut Pulau Tuba selesai gangguan elektrik

LANGKAWI, RABU, 31 Oktober, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak memberi khabar gembira buat 5,000 penduduk Pulau Tuba di sini apabila mengumumkan pembinaan dua kabel elektrik dasar laut bagi menyelesaikan gangguan elektrik di pulau tersebut.

Perdana Menteri berkata, kabel elektrik dasar laut bernilai RM45 juta itu akan merentasi Pulau Tuba hingga ke Kuah dan pembinaannya dijangka siap 18 bulan dari sekarang.

"Kabinet telah meluluskan pembinaan kabel dasar laut ini yang panjangnya hampir empat kilometer.

"Kita putuskan untuk bina dua kabel supaya jika satu rosak, kabel kedua dapat berfungsi menyalurkan bekalan elektrik kepada penduduk," katanya ketika berucap dalam Majlis Bersama Rakyat Pulau Tuba di sini hari ini.

Kira-kira 3,000 penduduk Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting tidak melepaskan peluang beramah mesra dengan Perdana Menteri pada majlis tersebut.

Najib turut merasmikan Klinik 1Malaysia di pulau berkenaan.

Menurut beliau, dua kabel elektrik dasar laut itu mampu bertahan sehingga 15 tahun.

"Sebelum ini, saya difahamkan penduduk terpaksa menggunakan janakuasa diesel untuk menjana elektrik. Saya difahamkan bekalan sering terganggu di sini.

"Oleh sebab itu, selepas projek ini siap, penduduk di sini boleh menikmati bekalan elektrik tanpa gangguan lagi," ujarnya.

Dalam pada itu, Najib yakin Pulau Tuba akan terus menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya boleh nampak perkara ini sebab pada Pilihan Raya Umum 2004 peratusan undi yang diperoleh BN ialah 93.7 peratus manakala pada 2008, peratusan berkurang sedikit menjadi 83.4 peratus.

"Saya percaya pada pilihan raya akan datang kita akan dapat sekurang-kurangnya 93 peratus undi," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment