My Add

Thursday 1 November 2012

Blueprint Pelancongan Langkawi 2011-2015 capai kejayaan lebih awal

*NAJIB ketika melancarkan Penjenamaan Baru Langkawi sebagai Naturally Langkawi yang turut dihadiri Nor Mohamed Yakcop (kiri), Ahmad Husni Hanadzlah (dua kiri), Noh Omar (kanan) dan Khalid Ramli (dua kanan) di Langkawi, Kedah, semalam. - UTUSAN/HALIM KHALID
LANGKAWI, RABU, 31 Oktober, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sasaran kedatangan tiga juta pelancong ke Langkawi pada 2015, telah berjaya dicapai lebih awal melalui pelaksanaan Blueprint Pelancongan Langkawi 2011-2015 oleh Kerajaan Pusat.

Perdana Menteri berkata, sasaran bernilai pulangan RM3.8 bilion itu telah memberi impak secara langsung apabila mencatatkan peningkatan kadar penginapan hotel sebanyak 8.7 peratus dan projek-projek fizikal swasta RM8.8 bilion.

"Saya difahamkan tahun ini sudah dapat dicapai, maka 2012 sudah lepasi sasaran, apatah lagi pada 2015 kalau kita (Barisan Nasional) mendapat mandat baharu daripada rakyat," katanya ketika melancarkan Penjenamaan Baharu Langkawi, Naturally Langkawi atau 'Keaslian Langkawi' di Kompleks Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Kuah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Selain itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Bashah Md. Hanipah dan Ketua Pegawai Eksekutif Lada, Tan Sri Khalid Ramli turut hadir pada majlis itu.

Najib berkata, peningkatan kadar penginapan sebanyak 8.7 peratus itu adalah tertinggi berbanding hanya dalam lingkungan tiga hingga empat peratus sejak rangka tindakan itu dilancarkan 8 Disember 2011.

"Sehubungan itu, saya menyeru agar penduduk Langkawi khususnya para pengusaha hotel dan resort, peniaga, pengusaha teksi pelancongan dapat bersama-sama mempromosikan jenama baharu itu,'' katanya.

Beliau berkata, usaha itu bagi melonjakkan lagi jenama Langkawi ke tahap yang lebih membanggakan hingga menjadi pulau legenda itu sebagai destinasi pelancongan yang ke-10 terbaik di dunia.

"Apa yang lebih penting, penduduk Langkawi sebagai penerima manfaat secara langsung akan dapat menikmati limpahan faedah dalam jangka masa panjang dan lebih menghargai kemajuan yang dilaksanakan oleh kerajaan," katanya.

Menurutnya, hal ini demikian kerana setiap agenda pembangunan yang dicadangkan oleh kerajaan sememangnya untuk kepentingan rakyat tanpa mengira sama ada di bandar, luar bandar atau pulau mahupun pedalaman.

Katanya, kerajaan akan terus mengenal pasti projek-projek pembangunan yang mampu memberi manfaat dan kesejahteraan kepada rakyat setempat, di samping meletakkan Langkawi di persada antarabangsa.

Tentang penjenamaan baharu itu, Najib berkata, langkah itu adalah penting dan tepat kerana pulau tersebut mempunyai keaslian dan keunikan yang tersendiri.

Menurutnya, ini termasuk tarikan formasi batu berusia 550 juta tahun; gugusan 99 pulaunya yang diiktiraf sebagai Geopark pertama di rantau ini, hutan hujan, kayu bakau, pantainya yang cukup menawan serta legenda dan mitosnya yang begitu mengasyikkan.

Katanya, keaslian itu dapat meletakkan nama Pulau Langkawi sebaris dengan pulau-pulau terkenal di dunia dan sebagai destinasi ekopelancongan.

"Penjenamaan adalah salah satu inisiatif yang amat penting bagi mempromosikan Langkawi dan memberi nilai tambah kepada ekonomi setempat,'' jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment