My Add

Friday 2 November 2012

Penjawat awam, petani meninggal dunia akibat denggi

PUTRAJAYA, KHAMIS, 01 November, 2012: Seorang penjawat awam di Sabah dan seorang petani di Sarawak yang juga penghidap darah tinggi meninggal dunia akibat demam denggi pada minggu ke-43 tahun ini iaitu untuk tempoh 21 hingga 27 Oktober lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata, penjawat awam berusia 30 tahun itu pada mulanya mendapat rawatan di klinik swasta sehari selepas mengalami demam, selesema dan sakit sendi.

"Beliau dimasukkan ke wad hospital kerajaan sehari selepas itu dan terus dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk rawatan lanjut. Bagaimanapun pesakit meninggal dunia pada hari yang sama akibat 'Severe Dengue with Multiorgan Failure'," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Petani wanita berusia 50 tahun itu pula mendapatkan rawatan di klinik kerajaan sehari selepas mengalami demam, sakit sendi, menggigil, kejang otot serta tiada selera makan dan seterusnya dimasukkan ke ICU hospital kerajaan setelah mengalami fasa kritikal.

Mangsa meninggal dunia selepas dua hari dirawat akibat demam denggi berdarah, katanya.

Dr Hasan berkata, kedua-dua kes kematian berlaku di kawasan bukan wabak.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan Pejabat Kesihatan daerah mendapati kadar pembiakan aedes di kawasan itu adalah tinggi iaitu 2.3 peratus di mana pembiakan aedes ditemui dalam baldi, tin kosong dan tangki septik di kawasan tempat pembuangan sampah dan tanah lapang, katanya.

Sementara itu, Dr Hasan berkata 390 kes demam denggi dilaporkan sepanjang tempoh 21 hingga 27 Oktober lalu berbanding 391 kes pada minggu sebelumnya.

Katanya sejak dua bulan lepas, Kelantan, Sabah, Perak dan Sarawak menunjukkan peningkatan kes demam denggi secara berterusan.

Selain daripada kes kematian, Sarawak juga sedang mengalami wabak di enam daerah melibatkan lapan lokaliti termasuk satu lokaliti panas iaitu Rumah Patsy Salah di daerah Meradong, Sarikei yang melaporkan 10 kes demam denggi, kata Dr Hasan.

Di Sabah pula, trend peningkatan kes berlaku sejak dua minggu lepas dengan purata 20 kes seminggu dilaporkan berbanding 10 kes pada minggu-minggu sebelumnya, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment