My Add

Monday, 12 November 2012

Wan Azizah: Saya dengar nasihat, bukan boneka Anwar

DR Wan Azizah Wan Ismail

Mukadimah

SEBAGAI isteri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memikul tanggungjawab yang amat besar dan berat.

Sejak zaman reformasi 14 tahun lalu, beliau telah menjadi simbol ketabahan golongan wanita Malaysia. Ikuti wawancara Sinar Harian dengan Presiden PKR ini bersama MAZLINDA MOHD NOR, MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN dan jurugambar MIZAN MAT TAMIN di pejabatnya baru-baru ini.

Sertai politik keputusan paling mencabar

WAN AZIZAH: Apakah fokus Datin Seri pada PRU13 akan datang?

Semua orang mengetahui, PRU13 amat dekat. Kita juga tahu dalam tempoh enam bulan ini, kita perlu mempergiatkan kempen-kempen seiring dengan pihak lawan dan fokus utama saya adalah mahu mendekati golongan wanita.

Saya ingin mendekati golongan wanita kerana ramai daripada golongan ini tidak berkesempatan turun mendengar ceramah-ceramah Pakatan Rakyat (PR) kerana program kita sering diadakan selepas Isyak.

Apakah pengisian dalam program Datin Seri ini nanti?

Perkara utama yang saya mahukan adalah bersemuka dan tiada jurang antara semua golongan wanita. Saya mahu semua wanita bermesra selain mahu menjelaskan perkara sebenar berkenaan isu-isu yang melanda negara kita pada hari ini.

Melalui kajian kami, wanita adalah kelompok terbanyak yang tidak menerima maklumat daripada sebelah PR kerana kebanyakannya hanya mendapat maklumat daripada media arus perdana yang lebih cenderung menyokong kerajaan yang memerintah.

Mampukan PR mencapai kejayaan besar pada PRU13 nanti?

WAN AZIZAH: Untuk ramalan saya tidak berani berkata kerana kami bertanding dalam padang yang tidak sekata. Tetapi selepas gerak kerja yang dilakukan selama ini, Insya-ALLAH saya mahukan kemenangan berpihak kepada PR kerana perubahan itu sudah jelas kelihatan.

Selain itu, segala yang dilakukan kami adalah untuk masa depan negara. Selepas 55 tahun negara ini diperintah Barisan Nasional (BN), sekarang adalah masa terbaik untuk berubah bagi membawa negara ini dan rakyat ke peringkat yang lebih tinggi.

Saya juga mahu rakyat menyedari perjuangan PR mahu pentadbiran negara lebih telus, kesamarataan kepada seluruh rakyat. Saya juga mahu kekayaan negara diagihkan kepada seluruh rakyat supaya semuanya mendapat manfaat daripada limpahan kekayaan negara, bukannya disekat oleh sekelompok manusia sahaja.

Jika perkara ini boleh dilakukan, nescaya rakyat kita akan berbangga dan sentiasa merasakan kitalah rakyat Malaysia.

Bagaimana pula cadangan untuk rakyat Sabah dan Sarawak?

WAN AZIZAH: Alhamdulillah kita dikurniakan dengan petroleum. Ada banyak negara tiada sumber alam yang amat berharga ini. Sebagai contoh di Sabah, negeri ini sebenarnya adalah sebuah negeri yang amat kaya dengan sumber alam, tetapi peliknya Sabah adalah negeri yang termiskin di negara kita. Kenapa perkara ini boleh berlaku?

Jadi sejak kemasukan dua negeri ini ke dalam Persekutuan Malaysia, adakah kesilapan pentadbiran atau kesilapan manusia?

Untuk kempen PRU13 ini, PR dilihat mencipta pelbagai poster dan ia mirip kepada parti yang bertanding di Turki, apa komen Datuk Seri?

WAN AZIZAH: Jika berkata meniru, tidak. Tetapi kami ada ceduk idea dari seluruh dunia. Jika kami merasakan ada idea yang bernas dan baik, apa salahnya kami mencuba pendekatan itu.Sebagai contoh PKR menggunakan bas dalam jelajah parti seluruh negara, itu sebenarnya adalah idea baru. Jika perkara yang dilakukan kita berjaya menarik minat lebih ramai rakyat, jadi tiada salahnya ia digunakan sebagai bahan kempen selagi ia dibenarkan oleh undang-undang.

Selain itu, kami mengambil pendekatan kempen yang berbeza daripada BN seperti kempen maki hamun dan menyerang peribadi lawan. Kami bawa kempen apakah polisi yang akan dibawa PR sekiranya ditakdirkan menang dan menawan Putrajaya nanti, itu yang kita ketengahkan.

Saya pernah terfikir, contohnya seperti kereta, kenapa cermin depan besar dan cermin sisinya kecik, kerana kita mahukan masa depan, untuk belakang, kita cuma perhatikan untuk pengajaran supaya kita tidak lakukan kesalahan yang sama berulang.

Sejak akhir-akhir, terlalu banyak politik ganas dilaporkan, apakah komen Datuk Seri dalam perkara ini?

WAN AZIZAH: Sepatutnya sebagai sebuah negara demokrasi, kita semua mahukan politik yang sihat, dan bersaing dalam keadaan elok untuk sama-sama memberi sumbangan kepada negara. Sepatutnya parti-parti politik ini sudah menerima konsep berbincang, berdiskusi bagi mencari idea terbaik untuk rakyat memilih.

Jika mahu politik ganas yang baling batu, baling cat, serang peribadi dan pelbagai lagi, maka politik ini hanya memundurkan pemikiran negara. Negara kita juga meletakkan Islam sebagai agama rasmi, jadi politik ganas ini bukanlah cara kita dan budaya Melayu.

Saya juga melihat politik ganas ini sebagai ujian kepada kami dan ada hikmahnya. Di bas jelajah kami, selepas pertama kali terkena cat, kami bersihkan, tetapi selepas kali kedua berlaku, kami tidak bersihkan. Kami cuma bersihkan di bahagian pemandu sahaja kerana tidak mahu halang pemanduan. Kami jadikan kesan cat ini sebagai perhiasan.

Apakah inisiatif PKR dalam menghadapi politik ganas seperti ini menjelang PRU13?

Kami akan terus menegur dan sentiasa berwaspada dengan mengambil langkah melindungi pemimpin kami. Bagi kawasan-kawasan yang agak berbahaya sedikit, kami akan meminta jasa baik anggota polis dan Rela bagi membantu kami. Selain itu, kami juga sering berpesan kepada penyokong, jika ada provokasi, jangan lawan balik, biarkan sahaja kerana apa pun berlaku, kami sering didakwa yang memulakan provokasi.

Persediaan Datuk Seri menjelang PRU13?

WAN AZIZAH: Kami cuba yang terbaik, tetapi kami tetap ada pelbagai halangan. Sebagai contoh, diri saya sendiri, saya melompat dalam dunia politik tanpa persediaan langsung sebenarnya. Tetapi setelah beberapa lama dalam politik, insya-ALLAH saya sudah bersedia.

Walaupun tidak sepenuhnya, namun kami percaya boleh beri tentangan sengit kepada pihak lawan.

Ada yang berkata PKR ditubuhkan kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebenarnya Anwar hanyalah satu simbol. Anwar itu adalah simbol ketidakadilan.

Apa yang diperjuangkan adalah demi rakyat dan mahukan masa depan dengan yang lebih baik. Bermula dengan badan bukan kerajaan (NGO), PKR yang bernama Keadilan pada ketika itu diubah menjadi parti politik.

Pada waktu itu, terdapat banyak parti lain yang lebih kukuh, seperti Umno dan Pas yang menaungi keseluruhan orang Melayu. Pas dengan asas-asas Islam dan Umno ada juga Islamnya tetapi lebih kepada asas keMelayuan dan ketuanannya. Selain itu ada MCA, MIC dan DAP serta parti-parti lain.

Jadi apa yang PKR buat adalah cuba gabungkan semua. Alhamdulillah PKR berjaya dan membawa perubahan landskap politik yang besar kepada negara.

Bagaimana pula dengan pemimpin asal PKR yang mula-mula sekali berjuang, tetapi pada hari ini ramai antara mereka sudah keluar dari PKR, kenapa perkara ini berlaku?

Bagi saya ia adalah soal perjuangan, dalam Pas, dalam Umno juga berlaku perkara ini. Dalam Umno contohnya Datuk Onn Jaafar, walaupun kalau kita pergi ke PWTC, kita akan lihat gambar beliau terpampang kerana pengasas Umno, namun beliau keluar dari Umno dan mewujudkan Parti Negara. Begitu juga dalam Pas, bekas Presidennya, Tan Sri Mohd Asri Muda juga keluar dari parti itu.

Oleh itu, mereka keluar ini kerana ada perbezaan-perbezaan yang berlaku dan ia adalah proses yang sering berlaku di mana-mana sahaja. Perkara yang lepas, kita kata sudah lepas.

Datuk Seri sudah tentukan akan bertanding di kerusi mana?

WAN AZIZAH: Saya hanya layak bertanding di peringkat Dun, kerana saya digantung bertanding di Parlimen untuk lima tahun kerana saya meletakkan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh. Untuk berkata bertanding atau tidak itu, ia akan diputuskan oleh parti. Buat masa ini, saya mahu fokuskan kepada gerak kerja dan kempen parti.

Bagaimana pula dengan khabar angin yang mengatakan seorang lagi anak Datuk Seri iaitu Nurul Nuha Anwar yang akan bertanding?

WAN AZIZAH: Nuha sebenarnya telah dicalonkan oleh salah satu cabang, sebab itu timbul khabar angin ini. Namun Nuha sudah berumah tangga dan baru mempunyai anak yang kecil, jadi saya rasa Nuha akan tumpukan perhatian kepada anaknya buat masa ini.

Jika benar Nuha akan bertanding pada PRU13, membuktikan amalan nepotisme dalam PKR. Apa komen Datuk Seri?

WAN AZIZAH: Perkara ini adalah ‘kalau’ dan hanya satu andaian. Ia tidak benar sama sekali. Pada pilihan raya umum lalu, Nurul Izzah Anwar bertanding di Parlimen Lembah Pantai adalah satu tugas yang amat sukar, kawasan itu diwakili oleh Menteri dan diketahui adalah kubu kuat Umno pada asalnya. Alhamdulillah Izzah menang. Izzah menang kerana kredibilitinya sendiri, jadi beliau memang layak.

Begitu juga dengan saya, pada pilihan raya umum tahun 2004 lalu, hanya saya seorang sahaja wakil PKR dalam Dewan Rakyat. Alhamdulillah tahun 2008 PR dapat satu loncatan besar.

Ada juga pihak yang menuduh Datuk Seri sebagai boneka Anwar. Benarkah tuduhan itu?

WAN AZIZAH: Mulut manusia akan berkata bermacam-macam. Saya juga boleh persoalkan adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah boneka Tun Dr Mahathir Mohamad? Saya sebagai presiden parti walaupun ada mendengar nasihat daripada Anwar, maka itu bukannya satu kesalahan. Anwar jelas mempunyai banyak pengalaman dalam dunia politik.

Apakah keputusan yang paling mencabar sejak Datuk Seri menyertai dunia politik?

WAN AZIZAH: Keputusan yang paling mencabar bagi saya adalah sama ada mahu bertanding ataupun tidak di Parlimen Permatang Pauh pada tahun 1999. PKR baru wujud dan bertapak pada ketika itu. Saya bukannya orang politik, saya sekadar seorang doktor di hospital. Jadi keputusan ini amat mencabar sekali bagi saya, lagipun pada ketika itu anak-anak saya masih kecil lagi. Izzah baru 17 tahun.
Saya gigihkan juga kerana suami berada dalam penjara dan penyokong benar-benar mahukan saya memimpin parti baru ini. Ramai yang berkata jika bukan saya maka susah untuk PKR ketika itu mara ke depan, mungkin mereka melihat saya membawa nama isteri kepada Anwar Ibrahim. Selain itu rakan-rakan dalam Pas dan PRM juga memberi sokongan kepada saya. Selain Permatang Pauh, ada juga yang minta saya bertanding di Kubang Pasu tempat Dr Mahathir. Tetapi akhirnya saya memilih untuk bertanding di Permatang Pauh.

Sekarang keluarga Datuk Seri diserang lagi, bagaimana Datuk Seri menangani perkara ini?

WAN AZIZAH: Serangan ke atas keluarga saya tidak berhenti, sejak dari dulu lagi sehinggalah sekarang. Pelbagai tuduhan dibuat ke atas kami terutamanya ke atas Anwar. Kami sudah lali dengan tuduhan dan serangan-serangan begini. Kami cuma boleh minta bantuan ALLAH dan minta kami boleh atasinya.

Pernahkah terdetik kekesalan dalam hati Datuk Seri kerana terlibat dalam politik?

WAN AZIZAH: Tidak, kerana inilah jalan yang saya dan keluarga pilih. Segalanya ada hikmah, jadi saya tidak pernah menyesal jalan yang saya pilih ini. Setiap kali saya sembahyang, saya minta supaya jangan ada sifat kesal dalam diri ini.
Kita mesti bersyukur kerana segalanya adalah ujian daripada-Nya untuk tingkatkan lagi keimanan kita. Selain itu kesabaran juga amat penting.

Jika tidak menyertai politik, apakah yang dilakukan dan kehidupan yang dimahukan Datuk Seri sekarang?

WAN AZIZAH: Jika tidak dalam politik, saya mahu lakukan amal ibadat kerana saya rasakan bekalan saya ke akhirat sedikit berbanding orang-orang lain. Ya ALLAH, saya rasa amal ibadat saya belum cukup. Jika saya terus diberikan kemampuan, kesihatan dan hayat lagi, itulah yang saya mahu lakukan insya-ALLAH.

Ramai yang mengatakan PRU13 ini adalah hidup mati antara BN dan PR. Jika PR tewas, adakah pakatan tiga parti ini berterusan untuk masa akan datang?

WAN AZIZAH: Bagi saya, hidup mati PRU13 ini adalah bagi pihak BN, bukan kepada PR. kerana bagi saya politik negara kita sudah matang. Sebelum adanya PR, sudah ada pakatan sebelum ini seperti Barisan Alternatif. Kita sudah laluinya dan saya yakin PR akan terus bekerjasama.
Dengan adanya kerjasama ini, maka kita lebih kukuh dan boleh mentadbir untuk membawa perubahan kepada rakyat dan negara. Kami bukannya satu pakatan yang longgar seperti dakwaan pihak lawan.

No comments:

Post a Comment