My Add

Saturday 12 January 2013

Ahli akademik dedah tembelang kerajaan Selangor isu air

SHAH ALAM, SABTU, 12 Januari, 2013: Seorang ahli akademik dan pakar air hari ini mendedahkan tembelang kerajaan Selangor yang hanya menyalahkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berhubung krisis bekalan air sedangkan kerajaan negeri gagal melaksanakan tanggungjawab di bawah perjanjian konsesi air.

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, pensyarah kanan di Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata agak melucukan juga apabila Syabas dituduh sebagai punca krisis air yang kini melanda 500,000 penduduk di 90 kawasan di Gombak dan Ampang dan kerajaan negeri mahu menyaman syarikat itu.

Beliau berkata kerajaan Selangor sebenarnya memiliki 30 peratus saham dalam Syabas dan walaupun bukan majoriti, ia pegangan saham yang besar dan malah mempunyai dua pengarah dalam lembaga syarikat berkenaan.

"Sebenarnya Syabas adalah di bawah kendalian kerajaan Selangor tetapi kerajaan negeri seolah-olah cuba menutup bahawa mereka mempunyai kepentingan di dalam Syabas.

"Seolah-olah mereka cuba menyatakan Syabas ini tidak ada kena mengena dengan kerajaan negeri.

"Apabila memiliki 30 peratus saham, ini kuasa yang besar dalam perniagaan tetapi kerajaan Selangor seolah-olah tidak nak ambil tahu pun apa yang berlaku dalam Syabas, seolah-olah Syabas adalah entiti yang bukan kena mengena dengan mereka dan ditambah seronoknya cerita, kerajaan negeri nak saman Syabas," kata Dr Zaharuddin.

Beliau berkata tindakan itu samalah seperti menyaman kerajaan Selangor sendiri yang memiliki 30 peratus saham di samping mempunyai dua pengarah dalam Syabas iaitu Noorusa'adah Othman dan Suhaimi Kamaralzaman.

“Kenapa asyik salahkan orang lain? Kenapa tidak dibincangkan semasa mesyuarat lembaga pengarah, menyatakan ini yang tak betul, ini yang perlu dibetulkan," kata beliau.

Dr Zaharuddin berkata kerajaan negeri nyata hanya mahu menjadikan isu air

“mainan politik" semata-mata dan beliau tidak faham apa yang kerajaan Selangor cuba mengaburi rakyat ketika ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment