My Add

Tuesday 15 January 2013

Akta Perhimpunan berkesan

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

*NAJIB Tun Razak diiringi Abdul Gani Patail semasa menghadiri majlis Persidangan Transformasi Perundangan Berhubung Keselamatan dan Hak Asasi bertemakan Hak dan Tanggungjawab: Antara Harapan Dengan Cabaran di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR, ISNIN, 14 Januari, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perhimpunan anjuran pakatan pembangkang yang berlangsung dalam suasana aman kelmarin, merupakan testimoni kepada keberkesanan penguatkuasaan Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Perdana Menteri turut menghargai kemampuan semua pihak yang terbabit di dalam himpunan itu sama ada di bahagian pihak berkuasa mahupun pihak penganjur kerana mematuhi peruntukan serta semangat akta berkenaan.

Bukan itu sahaja, Najib mengucapkan terima kasih kepada pihak pembangkang kerana menghormati semangat akta tersebut walaupun beliau tidak bersetuju dalam banyak perkara dengan mereka.

''Perhimpunan yang berlaku pada hari tersebut (Sabtu lalu) telah menunjukkan islah atau pembaharuan yang kita lakukan (kuatkuasakan APA) adalah amat tepat sekali.

''Tahniah di atas profesionalisme yang dipamerkan oleh pihak berkuasa,'' katanya ketika menyampaikan ucaptama yang bertajuk Permulaan Baharu untuk Malaysia semasa merasmikan Persidangan Transformasi Perundangan Berhubung Keselamatan dan Hak Asasi bertemakan Hak dan Tanggungjawab: Antara Harapan Dengan Cabaran di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Persidangan tiga hari tersebut dianjurkan oleh Jabatan Peguam Negara, Razak School of Government dan Institut Terjemahan dan Buku Negara.

Selain APA 2012 yang diwartakan pada 23 April tahun lalu, Perdana Menteri berkata, kerajaan komited melahirkan persekitaran undang-undang yang lebih menyokong hak asasi termasuk memansuhkan undang-undang yang telah menimbulkan polemik seperti Akta Keselamatan Negeri (ISA) 1960; Akta Buang Negeri 1959 dan Akta Kediaman Terhad 1933.

''Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 telah pun dipinda bagi memastikan janji ditepati dan begitu juga langkah kerajaan meminda Seksyen 27 Akta Polis 1967,'' katanya.

Menyentuh perkara sama, jelas beliau, perlaksanaan Program Transformasi Politik (PTP) adalah penyempurnaan kepada terlaksananya Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

''PTP bermula dengan penghapusan undang-undang yang dikira tidak relevan dengan kehendak masa dan kematangan rakyat,'' katanya.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri menegaskan, tindakan kerajaan meminda, memansuh dan menukar undang-undang serta perisytiharan tidak diasaskan kepada keuntungan politik.

Sebaliknya Najib berkata, langkah tersebut dibuat setelah kerajaan menyelami aspirasi rakyat dan merasai denyut nadi serta mendengar keluh kesah mereka.

Perdana Menteri di dalam ucapannya juga menyentuh mengenai pentingnya keseimbangan antara kepentingan melindungi kebebasan rakyat dengan kepentingan kolektif.

''Dalam usaha menghindarkan negara kita daripada berakhir dengan huru-hara dan kekacauan, menjadi tanggungjawab kita sebagai pemimpin, ahli perundangan dan masyarakat madani untuk sentiasa memastikan hak kebebasan rakyat dilindungi tetapi pada masa sama seimbang dengan kepentingan kolektif,'' tambahnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment