My Add

Monday 7 January 2013

Anwar patut lihat Felda secara positif

KUALA LUMPUR, AHAD, 06 Januari, 2013: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya melihat pembelian saham Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari sudut yang positif.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad (gambar) berkata, mana-mana pihak yang membeli saham FGV sudah tentu membuat penilaian secara terperinci terlebih dahulu dan KWSP juga diyakini melaksanakan langkah serupa bagi menjaga kepentingan para pencarumnya.

''Kenapa Anwar kata pembelian saham FGV oleh KWSP itu bukan satu perkara biasa? Pembelian saham dibuat berlandaskan kepada keyakinan FGV mempunyai masa hadapan yang baik.

''Namun, seperti pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang yang lain, Anwar sentiasa memburuk-burukkan FGV bagi membangkitkan kemarahan peneroka terhadap Felda dan kerajaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang menggesa Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia memanggil Anwar bagi memperjelaskan tuduhan kononnya nilai saham FGV akan menjadi lebih rendah jika tidak kerana campur tangan beberapa institusi termasuk KWSP.

Tambah Mohd. Isa, Anwar yang pernah memegang jawatan Menteri Kewangan sepatutnya memahami kaitan antara nilai saham FGV dan harga minyak sawit mentah di pasaran dunia.

''Minyak sawit mentah merupakan salah satu perniagaan teras FGV dan sebarang perubahan pada harga komoditi berkenaan pasti memberi kesan kepada nilai saham FGV," ujarnya.

Sementara itu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam satu kenyataan hari ini berkata, harga komoditi sawit secara amnya dipengaruhi oleh penawaran minyak sayuran lain dan permintaan di negara-negara pengimport utama seperti China, Kesatuan Eropah (EU), Pakistan, Amerika Syarikat dan India.

''Sejak suku tahun ketiga 2012, penurunan dalam pengeluaran domestik seperti di China dan pertumbuhan ekonomi yang lembap di EU mempunyai kesan langsung ke atas pengimportan produk-produk sawit Malaysia," jelas kementerian itu dengan merujuk kepada kenyataan akhbar Anwar pada 3 Januari lalu, antara lain menyentuh penurunan harga komoditi sawit dan getah pada 2012 dan kesannya kepada pendapatan pengusaha tanaman terutamanya pekebun kecil.

Berhubung harga getah, kementerian tersebut memberitahu, ekonomi dunia yang merudum telah menjejaskan permintaan getah asli bagi menghasilkan produk-produk siap berasaskan getah.

Dalam kenyataan sama, kementerian tersebut turut menyatakan beberapa langkah yang diambil kerajaan bagi memperkukuhkan harga minyak sawit mentah dan getah.

''Antara langkah yang diambil untuk membantu industri sawit adalah mempercepatkan pelaksanaan Program B5 (adunan lima peratus metil ester sawit dengan diesel) ke seluruh negara, menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi menebang pokok sawit yang berusia melebihi 25 tahun dan bantuan tanam semula sawit kepada pekebun kecil.

''Bagi industri getah, kerajaan melaksanakan beberapa langkah termasuk program penanaman semula dan memperkukuhkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan produk-produk baharu seperti Pureprena dan Ekoprena," katanya.

Kementerian itu juga memberi jaminan akan terus memantau aliran harga sawit dan getah bagi memastikan paras harga kedua-dua komoditi tersebut tidak menjejaskan pendapatan para pengusaha tanaman terutamanya pekebun kecil. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment