My Add

Thursday 24 January 2013

Bantuan awal persekolahan walaupun kecil, sangat membantu

ALOR SETAR, RABU, 3 Januari, 2013: Bantuan awal persekolahan sebanyak RM100 bagi setiap pelajar walaupun dianggap kecil oleh sesetengah pihak tetapi sangat bermakna kepada golongan yang sangat memerlukan bantuan.

Bagi ramai ibu bapa, bantuan itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat dan paling penting ia dapat meringankan beban mereka.

Seorang bapa Rushidi Salleh, 42, berkata, dia bersyukur dengan penerimaan bantuan awal persekolahan itu.

"Syukur sangat kerana kerajaan (Persekutuan) bagi RM100. Ringan sedikit beban saya sekeluarga dalam menanggung persekolahan anak-anak. Walaupun hanya RM100 untuk seorang anak, ia sudah mencukupi daripada tak ada langsung," katanya kepada BERNAMA selepas majlis penyampaian bantuan awal persekolahan di Sekolah Kebangsaan Mergong di sini, hari ini.

Bagi Hadibah Abdul Razak, 42, yang mempunyai tiga anak yang bersekolah, bantuan seperti itu patut diteruskan untuk tahun akan datang.

Peniaga kecil Ahmad Saad, 59, berharap kerajaan menambah jumlah pemberian bantuan berkenaan memandangkan kos pendidikan semakin meningkat.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang menyempurnakan majlis hari ini berkata, ibu bapa dan waris yang menerima bantuan itu perlu memanfaatkan wang berkenaan untuk pendidikan anak-anak. 

Beliau berkata, jika keadaan ekonomi negara baik dan masyarakat terus memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional meneraju negara ini, bantuan awal persekolahan itu mungkin akan diteruskan dan tidak mustahil jumlah yang diberikan berbeza. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment