My Add

Tuesday 15 January 2013

BN yakin pembangkang gagal gugat Terengganu

 *BESUT 14 Jan. - AHMAD Said (dua dari kiri) bertanya khabar kepada mangsa-mangsa kebakaran kedai dan rumah sederet Kampung Alor Lintang semasa melawat mereka sambil menyampaikan sumbangan kerajaan negeri di sini hari ini. Dalam kebakaran yang berlaku awal pagi kira-kira jam 3.10 pagi itu, enam buah pintu kedai sederet dan dua buah kediaman musnah menyebabkan kerugian dianggarkan RM1 juta. - BERNAMA
BESUT, SELASA, 15 Januari, 2013: Barisan Nasional (BN) Terengganu yakin pembangkang tidak akan dapat menggugat benteng pertahanan parti pemerintah itu di Terengganu berikutan kekuatan dan sokongan padu pemimpin dan anggota BN.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, persiapan rapi jentera parti sejak tahun lepas menyebabkan pembangkang tidak mudah untuk menggugat kemenangan BN.

Beliau yang melawat Bilik Gerakan Umno Bahagian Besut di sini malam tadi, berkata, Besut dianggap sebagai benteng kuat untuk memastikan kemenangan BN di Terengganu pada pilihan raya umum ke-13.

"Dengan kekuatan yang ada pada semua pemimpin dan sokongan padu ahli parti BN Besut, pembangkang tidak akan mudah mempengaruhi pengundi di Parlimen Besut," kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan pengerusi BN negeri itu.

Turut hadir semua Ketua UMNO Bahagian-Bahagian di Terengganu serta Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri negeri.

Ahmad turut berpuas hati dengan pengurusan UMNO Bahagian Besut yang mempunyai pelbagai kemudahan dan bilik khusus untuk semua portfolio dan berkata ia perlu menjadi contoh untuk bahagian lain di negeri ini.

Ahmad sebelum itu diberi taklimat mengenai persiapan pilihan raya oleh setiausaha UMNO bahagian, Dr. A Rahman Mokhtar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri.

Beliau berkata, semua bilik gerakan akan mula beroperasi sepenuhnya akhir bulan ini bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Terdahulu, Ahmad melawat dan menyampaikan sumbangan kerajaan negeri berjumlah RM10,000 kepada mangsa kebakaran enam deret kedai dan dua rumah kediaman di pekan Alor Lintang di sini.

Kebakaran pada pukul 3.10 pagi Ahad lepas itu memusnahkan antaranya kedai membaiki motosikal, kedai komputer, kedai alatan Singer, kedai menjual alatan memadam kebakaran, sebuah setor dan dua rumah kediaman membabitkan kerugaian RM1 juta. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment