My Add

Tuesday 8 January 2013

Dagangan Malaysia dijangka tumbuh 5 peratus

KUALA LUMPUR, ISNIN, 07 Januari, 2013: Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan perdagangan 5.0 peratus tahun ini di tengah- tengah ketidaktentuan ekonomi dunia, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Katanya, jumlah itu meningkat sedikit berbanding jangkaan keseluruhan 4.0 peratus pada tahun lepas.

“Pertumbuhan dagangan akan meningkat tetapi sedikit sahaja. Namun kami (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri - MITI) akan sentiasa mengawasi pertumbuhan ini," katanya selepas majlis dialog tahunan bersama peserta industri kimia dan petrokimia hari ini.

Bagi industri kimia dan petrokimia, katanya, ia akan terus mencatatkan pertumbuhan yang positif tahun ini, yang dipacu oleh projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) seperti di Pengerang, Kerteh dan Kuantan.

Bagaimanapun, beliau berkata, persaingan sengit dari negara-negara ASEAN dan China akan menjadi halangan kepada pemain industri tempatan.

“MITI akan mengadakan perbincangan dengan peserta industri dengan lebih mendalam untuk memahami bentuk persaingan dan bagaimana boleh meringankan persaingan tersebut," katanya.

Beliau berkata, MITI menyasarkan industri itu untuk menyumbang RM130 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (GNI) menjelang 2020, berbanding RM20 bilion setakat ini.

“Matlamat MITI untuk perkembangan enam kali ganda jumlah itu sukar dicapai jika mereka menghadapi persaingan yang mungkin menjejaskan pertumbuhan GNI," katanya.

Pada penggal ketiga 2012, industri tersebut menyumbang 7.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan jumlah pelaburan RM12.9 bilion untuk tempoh sembilan bulan tahun lepas. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment