My Add

Monday 21 January 2013

Dua didakwa miliki senjata serang penjawat awam

KOTA BHARU, ISNIN, 21 Januari, 2013: Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini hari ini dijadikan Mahkamah Majistret buat dua lelaki yang didakwa memiliki beberapa senjata berbahaya dan menyerang penjawat awam dalam kejadian di Pasir Puteh, Khamis lalu.

Tertuduh Mohd. Saimin Ali, 34, dan Mohd. Raffiq Razuaddy Ab Aziz, 29, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Roszita Md Saad di Wad 2 Zamrud hospital itu.

Pertuduhan dilakukan di hospital itu kerana kedua-dua tertuduh masih menerima rawatan disebabkan masalah kesihatan.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas, memiliki sebilah pedang bersarung hitam, sebilah parang panjang berhulu kayu, sebatang kayu panjang, sebatang besi panjang dan sebilah pisau berhulu kayu, tanpa kebenaran, di Kampung Pachakan, Pasir Puteh pada pukul 4 pagi, 16 Januari lepas.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Dan Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak melebihi dua tahun atau sebatan.

Kedua-dua tertuduh yang berasal dari Pasir Puteh juga menghadapi pertuduhan iaitu menggunakan kekerasan jenayah terhadap Koperal Mohd. Zaki Husain dengan niat hendak menahan atau menakutkannya daripada menjalankan kewajipan yang sah di sisi undang-undang, pada tarikh, masa dan tempat yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mohd. Raffiq Razuaddy menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu menggunakan kekerasan jenayah terhadap Asisten Supritendan Ganti bin Jimmy dengan niat hendak menahan atau menakutkan penjawat awam itu daripada menjalankan kewajipannya pada pukul 4.35 petang, 8 Ogos tahun lalu di parkir stesen minyak Petronas, Pasir Puteh.

Tertuduh yang berasal dari Kampung Gong Serapat, Pasir Puteh didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Roszita kemudiannya menetapkan 25 Februari ini untuk sebutan semula kes berkenaan. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment