Dua pelatih PTD dijangkiti virus H1N1
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 17 Januari, 2013: Dua pelatih Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dari pusat latihan Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di Baling, Kedah dikesan mengalami jangkitan virus influenza A (H1N1), kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata, kedua-duanya adalah antara 51 pelatih dari pusat latihan itu, menempatkan keseluruhan 109 pelatih, sebelum ini dikesan mempunyai simptom influenza seperti demam dan selesema berterusan.
Dua pelatih itu kini dirawat di sebuah hospital swasta di Ipoh, Perak selepas dimasukkan ke hospital itu ketika kumpulan pelatih itu dalam perjalanan ke sebuah pusat latihan di Ipoh semalam, katanya.
"Baki 49 pelatih hanya mempunyai simptom penyakit serupa Influenza (ILI) dan mereka dibenarkan meneruskan latihan seperti biasa,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan kempen Gaya Hidup Sihat Dengan Lompat Tali di sini, hari ini.
Tiong Lai menasihatkan rakyat agar menitikberatkan amalan membasuh tangan menggunakan teknik betul bagi menjaga kesihatan serta segera mendapatkan rawatan di hospital atau klinik sekiranya demam atau selesema.
"Virus ini bukan baharu di negara kita dan ia mudah merebak jika kita berada di dalam kumpulan yang ramai," katanya.— BERNAMA
No comments:
Post a Comment