My Add

Wednesday 16 January 2013

GiatMara tawar kursus jentera berat lahir pelatih berpendapatan tinggi

RAUB, SELASA, 15 Januari, 2013: Pusat Latihan GiatMara memperkenalkan kursus memandu dan membaiki jentera berat serta mesin gergaji balak dalam usaha melahirkan lebih ramai pelatih mahir dalam bidang tersebut dan mampu menawarkan pendapatan tinggi.

Pengerusi GiatMara, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, kursus berkenaan dikendalikan oleh tenaga pengajar bertauliah dalam bidang tersebut yang tidak ramai kalangan bumiputera menceburinya.

Menurut beliau, bidang tersebut yang dimonopoli kaum Cina mampu memberi pendapatan lumayan antara RM4,000 atau RM5,000 ke atas sebulan.

"Memandangkan kurangnya kaum Melayu menceburi bidang tersebut, bermula tahun ini GiatMara memperkenalkan kursus itu dengan menyasarkan kira-kira 100 pelatih mahir yang dapat dilahirkan sebelum akhir tahun ini.

"Kita yakin lebih ramai belia Melayu akan mengikuti kursus tersebut sebagai satu daripada usaha kerajaan melahirkan tenaga kerja mahir berpendapatan tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan pendidikan kepada keluarga peserta Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Pahang di Rancangan Tanah Pemuda Klau di sini hari ini.

Shahiruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong berkata, sebagai permulaan, pusat berkenaan akan melatih antara 80 hingga 100 orang dalam bidang memandu dan membaiki jentera berat manakala 50 hingga 100 orang lagi bidang membaiki mesin gergaji balak.

Katanya, seperti pelatih lain, mereka yang mengikuti kursus berkenaan turut diberikan elaun sebanyak RM200 sebulan dan kerajaan menimbang untuk menambah lagi elaun itu sehingga RM300.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah meluluskan peruntukan RM5 juta bagi membina pusat GiatMara baharu di daerah ini bagi menggantikan bangunan lama yang tidak sesuai digunakan sebagai pusat latihan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment