My Add

Wednesday 16 January 2013

Skim Perantisan Mekatronik untuk belia lepasan SPM

KUALA LUMPUR, SELASA, 15 Januari, 2013: Bagi melahirkan lebih ramai tenaga profesional dan separa profesional dalam pelbagai bidang teknologi dan kejuruteraan, kerajaan serta pihak industri mengambil inisiatif menyediakan Skim Perantisan Mekatronik kepada belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Eksekutif Auto Prima Technology Training Sdn. Bhd., Juhaidi Yean Abdullah berkata, selain skim pengajian serta latihan, belia yang terpilih akan diberikan elaun bulanan sebanyak RM500 yang ditaja pihak industri.

Jelasnya, mekatronik adalah satu bidang baru yang penting dalam industri masa kini yang menggabungkan kejuruteraan mekanikal dengan kejuruteraan elektronik, teknologi komputer dan kawalan untuk menghasilkan suatu sistem bersepadu.

"Pembelajaran merangkumi aspek daripada segi automasi seperti PLC (Programmable Logic Controller), Pneumatic & Hydraulic, mekanikal dan elektronik.

"Kursus ini menyediakan peluang kerjaya dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan elektrikal serta bidang automasi dan robotik," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Juhaidi, selain daripada pembelajaran di dalam kelas atau bengkel, pelajar juga perlu melaksanakan projek secara berkumpulan.

"Tujuannya untuk memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan apa yang telah dipelajari.

"Mereka akan mereka cipta atau membuat kajian dalam reka cipta sedia ada di samping mempelajari kemahiran menguruskan projek secara berkumpulan," katanya.

Selepas tamat pengajian, jelas beliau, perintis akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia Juruteknik Automasi (Mekatronik) Tahap 3 oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) serta sijil daripada Pembangunan Sumber Manusia Bhd. (PSMB) dan Auto Prima.

Menurut beliau, pelajar-pelajar skim itu juga akan diberi latihan praktikal di syarikat-syarikat penaja.

"Kita menjamin tawaran kerja kepada perantis yang tamat pengajian dan latihan. Banyak syarikat yang mencari mereka yang lulus dan berkemahiran dalam bidang ini," katanya.

Menurut Juhaidi, pendidikan teknikal dan vokasional sangat sesuai bagi pelajar yang meminati bidang kemahiran.

"Ibu bapa dan para remaja, terutama lulusan SPM, harus mempunyai pandangan yang betul terhadap pendidikan vokasional.

"Dengan wujudnya peluang pekerjaan yang semakin luas, skim gaji yang menarik dan potensi kenaikan pangkat dalam karier, sektor ini memberi jaminan yang baik," katanya.

Maklumat lanjut mengenai skim latihan tersebut boleh didapati dengan menghubungi talian 03-51217153 atau 012-6888445 serta dengan melayari laman web www.autoprima.edu.my. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment