My Add

Friday 25 January 2013

GPMS saran inisiatif kukuh jawi

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 24 Januari, 2013: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mencadangkan kerajaan memberi pengurangan cukai kepada mana-mana peniaga atau syarikat yang menggunakan tulisan jawi dalam urusan syarikat seperti papan tanda bertulisan jawi.

Timbalan Presidennya, Ezaruddin Abd. Rahman berkata, langkah tersebut adalah salah satu inisiatif yang perlu diterapkan dalam memperkukuhkan lagi tulisan jawi memandangkan ia semakin lama semakin pudar dalam kalangan orang Melayu.

"Tulisan jawi bukan sahaja harus diperkasakan dalam pelajaran malahan dalam industri perniagaan juga harus diperhebatkan lagi.

"Mungkin dengan memberi pengurangan cukai terhadap peniaga dan syarikat yang menggunakan tulisan jawi, akan menarik lebih ramai pihak luar menggunakan tulisan jawi di organisasi mereka," katanya ketika dihubungi Bernama.

Selain itu, Ezaruddin juga turut melahirkan rasa bimbang dengan peredaran masa yang kini semakin moden menjelang Wawasan 2020.

"Kami sebagai pihak NGO turut berasa bimbang dengan peredaran masa berteknologi tinggi menjelang Wawasan 2020. Saya bimbang apabila dunia sudah semakin maju tulisan jawi ini akan diketepikan.

"Pemerhatian saya mendapati kebanyakan bahan bacaan hiburan di pasaran juga tiada tulisan jawi...kalau boleh biarlah dua tiga muka surat ada diselitkan ruangan jawi," katanya yang juga berpendapat bahawa laman web serta laman sosial perlu diadakan dalam tulisan jawi.

Beliau juga memohon supaya Majlis Agama Islam mempromosi laman sosial dalam tulisan jawi supaya ia lebih dekat dengan golongan pembaca.

"Saya berbangga dengan surat khabar Utusan Malaysia yang menyelitkan ruangan tulisan jawi pada setiap Isnin. Mungkin dengan cara ini ramai pembaca lebih tertarik untuk menguasai tulisan jawi," katanya.

Sementara itu generasi muda yang ditemu bual mengenai isu tulisan jawi yang semakin pupus dalam kalangan generasi masa kini turut memberikan beberapa cadangan bagi melestarikan tulisan warisan itu.

Pelajar Mohd. Faiz Haiqal, 23, yang kecewa dengan tulisan jawi yang diterjemahkan dalam tulisan rumi pada sesi pembelajaran Agama Islam di peringkat pengajian tinggi berkata, mahasiswa-mahasiswi akan pudar dengan penggunaan tulisan jawi.

"Kalau boleh biar segala urusan rasmi kerajaan juga ada menggunakan tulisan jawi walaupun tidak sepenuhnya seperti mana pada zaman Melayu Melaka dulu," katanya.

Rashida Ali, 17, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Shah Alam berkata, beliau pandai membaca al-Quran tetapi membaca secara menghafal bukannya mengenal huruf membuatkan beliau tidak minat untuk membaca dalam tulisan jawi.

"Saya pandai baca al-Quran tetapi apabila hendak membaca dalam tulisan jawi saya jadi kekok kerana kurang pendedahan terhadap tulisan jawi. Saya nak kalau boleh banyakkan aktiviti menarik berasaskan tulisan jawi," katanya.

Bagi Nor Syazwani Madam, 23, untuk mengelakkan tulisan jawi pupus dalam kalangan orang Melayu terutamanya anak muda, ibu bapa harus memainkan peranan penting mendidik anak-anak mereka.

"Kebanyakan ibu bapa hanya mengharapkan pembelajaran tulisan jawi di sekolah sahaja. Bagi mereka, jika anak-anak lulus dalam mata pelajaran yang diambil itu sudah memadai tetapi mereka kena ingat bukan mudah tugas guru mahu mengajar anak didiknya setiap seorang," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment