My Add

Saturday 19 January 2013

Hak bukan Melayu terjamin

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
 
 *NAJIB,, Abdul Rahim Tamby Chik (dua dari kiri), Aseh Che Mat (dua dari kanan), Awang Tengah Ali Hassan (kanan) dan Ramlan Othman (kiri) bersama-sama mengangkat tangan sebagai tanda bersatu dalam Majlis Penyerahan Memorandum Sokongan Badan-Badan Ekonomi Melayu (BEM) dan Penyampaian Wang Sumbangan kepada BEM serta Majlis Gagasan Ekonomi Melayu Negeri (MGN) Negeri di Putrajaya, semalam. - Utusan/HANAFI KHAMIS

PUTRAJAYA, JUMSST, 18 Januari, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan UMNO sentiasa menjaga kepentingan bumiputera dan tidak pernah menafikan atau merampas hak orang bukan Melayu.

Menurut Perdana Menteri, kekayaan yang ada diagih-agihkan secara adil dan saksama kepada semua golongan, malah kerajaan berusaha melakukan apa sahaja yang termampu walaupun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi dunia.

Katanya, Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Projek Permulaan (EPP) telah membuahkan hasil menerusi peningkatan kadar pelaburan, sekali gus mendorong pertumbuhan ekonomi negara berkembang melepasi lima peratus.

''Dengan tidak nafikan hak orang bukan Melayu, jauh sekali merampas apa yang ada pada mereka, tetapi sebaliknya mengagihkan perkembangan dan pertumbuhan ekonomi kepada orang Melayu dan bumiputera.

''Inilah dari segi mikro yang dilakukan oleh kerajaan, sebab itulah ramai juga di kalangan bukan Melayu dan bukan bumiputera yang memahami pendekatan kerajaan tidak menentang dasar yang menyokong orang Melayu dan bumiputera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pertemuan dengan Badan-Badan Ekonomi Melayu/Bumiputera (BEM) dan penyampaian sumbangan pengurusan kepada BEM serta Majlis Gagasan Ekonomi Melayu Negeri (MGN) di sini hari ini.

Majlis anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) itu turut dihadiri Pengerusinya, Tan Sri Dr. Abdul Rahim Tamby Chik, Ketua Pegawai Eksekutif Gabem, Datuk Ramlan Othman, Pengerusi Gabem Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat.

Perdana Menteri berkata, bantuan yang diberikan kepada bumiputera bersandarkan kepada merit dan orang bukan Melayu boleh menerima hakikat tersebut.

''Kita cuba beri peluang kepada Melayu dan bumiputera yang terbaik di kalangan yang terbaik supaya ada daya saingan yang sihat. Ini kerana berdasarkan merit mereka dapat melangsungkan perniagaan berdasarkan kepada kemampanan.

''Tidak guna beri peluang tetapi beberapa tahun kemudian terlingkup perniagaan, tertiarap atau terjongkang. Berapa ramai Melayu yang lumpuh dan hangus perniagaannya apabila krisis kewangan berlaku, semua ini sebab tidak ada kemampanan dan kurang kemampuan," katanya.

Najib turut menegur sikap segelintir orang politik yang selalu meminta sokongannya untuk mendapatkan projek walaupun mereka bukan dalam kalangan usahawan atau korporat.

''Kalau kita sokong orang rent-seekers ini, bila masa kekuatan orang Melayu dalam ekonomi akan meningkat. Bila masa dasar 30 peratus ekuiti Melayu dalam ekonomi akan tercapai.

''Kalau dari dulu kita tidak bagi rent seekers ini, hari ini 30 peratus ekuiti akan tercapai. Maka perlu ada reality check, jadi jangan sebut Melayu dan bumiputera seronok," katanya.

Perdana Menteri juga mahu orang Melayu melihat kehebatan dan kebijaksanaan masing-masing supaya menjadi sama hebat selain tidak diperlekehkan orang bangsa-bangsa lain.

Beliau yakin penguasaan 30 peratus ekuiti dapat dicapai dalam tempoh beberapa tahun lagi kerana sejak Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) dilancarkan sebanyak 21.9 peratus dapat dicapai pada 2008 dan 23.09 peratus pada 2010. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment