My Add

Saturday 19 January 2013

Ikhlas dedah masalah peniaga kepada PM

PUTRAJAYA, JUMAAT, 18 Januari, 2013: Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) mendedahkan masalah golongan peniaga kepada Datuk Seri Najib Tun Razak melalui Kajian Reaksi Peniaga-Peniaga untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Presidennya, Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, antara masalah yang dilaporkan kepada Perdana Menteri ialah kesukaran mendapatkan bantuan pinjaman, tapak perniagaan selain dakwaan ditindas oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Terdapat juga masalah lain di mana maklumat dan bantuan yang disampaikan oleh kerajaan tidak diterima oleh kumpulan sasar.

"Negeri yang paling banyak para peniaganya menghadapi masalah adalah di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebelum menyerahkan kajian setebal 791 muka surat itu di pintu masuk Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Laporan kajian itu diterima oleh Pegawai Khas Perdana Menteri, Saiful Azhar.

Mohd. Ridzuan turut melahirkan kebimbangan berhubung pelaksanaan pengagihan skim perlindungan insurans berkelompok serta pinjaman tanpa faedah penjaja dan peniaga kecil yang dikhuatiri tidak adil.

"Kita tidak mahu hanya golongan tertentu atau kroni sahaja yang mendapat kemudahan tersebut.

"Manakala peniaga yang betul-betul mahu berniaga tidak dapat," katanya.

Pada masa sama, beliau berharap, laporan kajian yang dijalankan selama setahun setengah oleh pihaknya itu sedikit sebanyak dapat membantu kerajaan dalam memenangi PRU-13 nanti. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment