My Add

Saturday 19 January 2013

PM tabik anggota RT sanggup berkorban

PUTRAJAYA, JUMAAT, 18 Januari, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi tabik kepada anggota Rukun Tetangga dan Skim Rondaan Sukarela kerana sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk menjaga keselamatan negara.

Beliau berkata, keselamatan dan keamanan negara tidak datang bergolek dan tidak akan menjadi realiti tanpa pembabitan dan kerjasama daripada setiap rakyat negara ini.

''Mungkin ada yang menegur dari segi keadaan keselamatan, mereka ada hak untuk berbuat demikian.

''Tetapi untuk mereka yang sanggup mencurah bakti menjaga keamanan dan keselamatan, saya tabik kerana mereka warga Malaysia yang ada rasa tanggungjawab," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap dalam Perhimpunan Perdana Rukun Tetangga 2013 dan pelancaran buku Panduan Pengurusan Rukun Tetangga di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr, Koh Tsu Koon dan Ketua Pengarah Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan.

Seramai 6,000 orang termasuk ahli Rukun Tetangga, Ketua Peronda Skim Rondaan Sukarela, Ketua Jiran Muda, Ketua Jiran Wanita dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) datang untuk mendengar amanat Perdana Menteri.

Najib berkata, selain melakukan rondaan bagi menjaga keselamatan negara, Rukun Tetangga juga berperanan dalam menjadikan rakyat pelbagai kaum lebih serasi antara satu sama lain.

''Hari ini apabila kita sambut Perhimpunan Perdana Rukun Tetangga, kita juga menyambut kejayaan untuk memperteguh perpaduan nasional," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, slogan 1M4U yang mulanya membawa dua makna iaitu 1Malaysia Untuk Belia (1Malaysia For Youth) dan Perdana Menteri Untuk Rakyat kini telah berkembang kepada satu lagi maksud iaitu 1Malaysia Untuk Perpaduan (1Malaysia For Unity). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment