My Add

Thursday 10 January 2013

Ingatan kepada penganjur himpunan

Oleh THOMAS CHONG

PUTRAJAYA, RABU,  09 Januari, 2013: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengingatkan penganjur Himpunan 12 Januari bahawa rakyat akan membuat penilaian jika mereka melakukan perkara yang tidak munasabah ketika perhimpunan berlangsung.

Katanya, tanggungjawab kementeriannya pula adalah terus memainkan peranan untuk mengimbangi hak individu dengan kepentingan dan keselamatan negara.

''Penganjur dan peserta mesti realistik serta praktikal. Sekiranya mereka membuat sesuatu yang tidak munasabah, maka orang ramai akan menilai tindakan tersebut.

''Penganjur himpunan Bersih sebelum ini memberi jaminan bahawa akan berjalan dalam keadaan aman, tetapi sebaliknya telah berlaku," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri Thailand, Dr. Chalerm Yoobamrung di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin berkata, beliau percaya keputusan polis menyediakan kad kepada petugas media pada hari perhimpunan adalah bertujuan menjaga keselamatan mereka.

''Ini adalah hasil pengalaman yang dilalui semasa himpunan Bersih di mana polis dituduh mengasari media.

''Kita tidak boleh paksa pemberita untuk daftar diri sebelum membuat liputan, tetapi bukannya susah pun untuk media mendaftar diri," katanya.

Beliau sebelum itu ditanya kenapa kad itu dikeluarkan memandangkan pengamal media telah memiliki kad perakuan yang dikeluarkan Jabatan Penerangan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment