My Add

Tuesday 15 January 2013

Kalimah Allah: Keputusan Majlis Syura Ulama perlu dipatuhi

KUALA LUMPUR, SELASA, 15 Januari, 2013" Keputusan Majlis Syura Ulama PAS bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu adalah keputusan yang patut dipatuhi oleh semua anggota parti itu.

Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa berkata walaupun ada pendapat berbeza mengenai perkara itu sebelum ini di kalangan kepimpinan parti, ia adalah pandangan peribadi masing-masing.

"Apa yang dihasilkan pada Majlis Syura Ulama adalah keputusan yang bijak dan kena pada masanya. Apa yang diputuskan, kita harus berpegang kepada itu dan bukannya pandangan peribadi," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Majlis Syura Ulama Pas yang dipengerusikan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada Ahad yang memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu.

Ditanya sama ada keputusan itu dibuat berikutan tekanan daripada pelbagai pihak, Nasharuddin yang secara peribadi tidak bersetuju dengan gesaan itu berkata beliau tidak pasti mengenainya.

Mengulas lanjut, Anggota Parlimen Bachok itu menegaskan Majlis Syura Ulama pastinya telah berbincang dan membuat pemerhatian yang teliti dalam beberapa aspek sebelum memutuskan sedemikian.

"...bukan sahaja pandangan politik dan tuntutan akidah untuk menjaga keharmonian Islam, tetapi dalam konteks masyarakat Malaysia itu sendiri. Memang tidak sesuai kalimah Allah digunakan oleh penganut agama lain," katanya yang menjelaskan beliau tidak hadir pada mesyuarat itu kerana berada di luar negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment