My Add

Saturday 19 January 2013

Karpal harap Majlis Syura kaji semula pendirian

 GEORGETOWN, SABTU, 19 Januari, 2013: Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh berharap pendirian Pas berhubung isu kalimah ALLAH tidak bercanggah dengan pendirian Pakatan Rakyat (PR).

Beliau menyeru Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengkaji semula pendirian Majlis Syura yang memutuskan kalimah ALLAH tidak boleh digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu.

Karpal juga berharap Abdul Hadi akan menentukan semula pendirian Pas agar selaras dengan keputusan yang telah dicapai Majlis Pakatan Rakyat pada 8 Januari lepas.

"Adalah penting untuk Majlis Syura Ulama Pas mengambil satu pendirian yang sama dengan PR dan saya harap Abdul Hadi dapat menentukan pendirian Majlis Syura itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Isu kalimah ALLAH dibangkitkan oleh Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam perutusannya sempena sambutan Hari Natal Disember lepas yang menggesa kerajaan persekutuan membenarkan kalimah ALLAH digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu.

Diminta mengulas tindakan Guan Eng yang enggan mengulas mengenai isu itu, Karpal berkata: "Bukan Guan Eng tidak mahu mengulas... dia tidak tukar pendirian dia. Itu maksudnya apabila dia tidak mahu mengulas." - BERNAMA

No comments:

Post a Comment