My Add

Wednesday 9 January 2013

Malaysia, Tatarstan tingkat kerjasama, perkukuh hubungan

*NAJIB Tun Razak bersalaman dengan Rustam N. Minnikhanov ketika menerima kunjungan hormat beliau di pejabatnya di bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. Turut sama ialah Mustapa Mohamed (kiri). - BERNAMA

PUTRAJAYA, SELASA, 08 Januari, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima kunjungan hormat Presiden Republik Tatarstan dalam Persekutuan Rusia, Rustam N. Minnikhanov.

Presiden dan delegasinya berada di sini untuk lawatan tiga hari bermula hari ini, untuk merintis jalan buat Tatarstan dan Malaysia bagi menggalak dan membangunkan kerjasama ekonomi dalam pelbagai bidang dan dengan itu, mengukuhkan hubungan antara kedua-dua buah negara.

Ketibaan Presiden itu disambut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed sebelum dibawa ke Pejabat Perdana Menteri.

Pertemuan antara Najib dan Presiden Minnikhanov berlangsung selama 45 minit.

Sebelum itu, delegasi dari wilayah separa autonomi dalam Persekutuan Rusia itu, mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman di Wisma Putra.

Menurut satu kenyataan daripada Pejabat Perhubungan Awam, Media dan Agensi Pembangunan Pelaburan Tatarstan; sebagai sebahagian daripada atur cara lawatan, Presiden Minnikhanov dan Mustafa akan menjadi hos seminar pelaburan Tatarstan-Malaysia yang akan menonjolkan peluang-peluang pelaburan kedua-dua buah negara.

Semasa seminar itu, pihak Tatarstan akan mengemukakan dua projek keutamaan pembangunan iaitu SMART City Kazan dan Innopolis - yang dilancarkan republik itu bagi melahirkan infrastruktur pelaburan yang diperlukan dan platform dalam khidmat perniagaan, industri perkhidmatan dan teknologi maklumat.

Delegasi Tatarstan, yang termasuk lebih daripada 40 ahli perniagaan, pendidikan dan pegawai kerajaan, juga akan melawat Cyberjaya, satu analogi kepada projek Innopolis di Tatarstan.

Menurut kenyataan itu, Ketua Eksekutif Tatarstan Investment Development Agency, Linar Yakupov berkata, lawatan itu akan memainkan peranan penting ke arah meningkatkan trajektori kerjasama dua hala yang dibuat semasa lawatan terakhir Presiden Minnikhanov ke Malaysia pada 2010.

"Berikutan lawatan itu, pelaburan asing dari Malaysia ke Tatarstan meningkat daripada $741,100 kepada $950,000 pada 2011. Suku ketiga 2012 menyaksikan pelaburan $568,000 ke Tatarstan dari Malaysia," kata kenyataan itu.

Pada Disember, satu perjanjian ditandatangani yang akan menyaksikan syarikat pelaburan Malaysia, Aliran Idaman, memperoleh Hospital Shamovsky, satu mercu tanda bersejarah di Kazan, ibu kota Tatarstan.

"Syarikat Malaysia merancang membaik pulih bangunan itu menjadi hotel dengan gaya istana mengikut standard antarabangsa. Jumlah pelaburan bagi projek ini dijangka sekitar 20 juta Euro," kata kenyataan itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment