My Add

Wednesday 23 January 2013

Najib marakkan perjuangan Palestin



* NAJIB menyatakan sesuatu pada pertemuan dengan Ismail di Gaza.
 
GAZA, SELASA, 22 Januari, 2013: Palestin - Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama menjejak kaki di bumi Palestin apabila beliau mengadakan lawatan kemanusiaan ke Gaza semalam.

Najib tiba di kawasan sempadan Rafah di wilayah Palestin kira-kira pukul 10.40 pagi (waktu Gaza) atau kira-kira pukul 4.40 petang waktu Malaysia.

Satunya-satunya pintu masuk ke Genting Gaza tanpa memerlukan kebenaran Israel adalah melalui lintasan Rafah di Mesir.

Ketibaan Najib disambut Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh di kawasan sempadan Gaza.

Lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku, dan Palestin berkumandang dalam upacara sambutan ketibaannya.

Najib juga memeriksa barisan kehormat pasukan polis Palestin.

Sebelum itu, Najib menempuh perjalanan darat sejauh 55 kilometer dari lapangan terbang El-Arish di Mesir ke kawasan sempadan Rafah.

Selepas memeriksa kawalan kehormat, Najib dan Ismail mengadakan perbincangan di Pusat Pemeriksaan Imigresen Rafah.

Di Gaza, Najib melawat sekolah yang dibiayai rakyat Malaysia, Al Madrasah Al Malaziah, sebelum meninjau tapak pembinaan pejabat baharu untuk Ismail. Pejabat lama Ismail musnah dalam serangan Israel pada November tahun lepas.

Kemudian, Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor menghadiri majlis jamuan tengah hari yang dihoskan Ismail di Hotel Movenpick sebelum melawat Universiti Al-Aqsa, di mana Najib dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran.

Sementara itu, Najib dalam laman Twitternya turut menyatakan kesyukuran kerana segala urusan berkaitan kunjungan bersejarahnya ke Gaza berjalan lancar.

Ketibaannya di Gaza disambut oleh Ismail, pemimpin tertinggi Hamas, dan lebih menggembirakan apabila beliau dapat mengunjungi tapak projek sekolah Malaysia di Gaza.

"Alhamdulillah, urusan di Gaza berjalan dengan selamat dan jayanya. (Saya) harap lawatan ini dapat mengeratkan hubungan persaudaraan antara dua negara," ujarnya.

Dalam mesej Twitter pada pukul 11 malam tadi (waktu Malaysia), Najib menyatakan beliau sudah pun keluar dari Gaza.

Perdana Menteri yang sedang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Mesir tiba di Kaherah kelmarin. - Agensi/Kosmo

No comments:

Post a Comment