My Add

Thursday 10 January 2013

Najib teruskan usaha dekati masyarakat India di Selangor

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 10 Januari, 2013: Datuk Seri Najib Razak akan meneruskan pendekatan turun padang untuk mendengar denyutan nadi masyarakat India dengan menghadiri dua majlis di Selangor hujung minggu ini.

Perdana Menteri akan menghadiri perhimpunan Parti Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF) Sabtu ini, buat julung kalinya sejak beliau menjadi Perdana Menteri pada 2009.

Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamad berkata, majlis itu akan berlangsung di perkarangan Tesco Bandar Rinching, Semenyih.

"Parti IPF adalah penyokong kuat BN dan mempunyai pengundi tetap untuk BN di Selangor. Kehadiran perdana menteri sudah pasti akan memberi suntikan semangat yang tinggi untuk menghadapi Pilihan raya Umum ke-13," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

IPF kini diterajui presiden Datuk M. Sambanthan.

Najib, yang juga Pengerusi BN, akan menemui masyarakat India pada 13 Jan, sehari sebelum sambutan Ponggal, di perkarangan Little India, Klang. Ponggal akan disambut pada 14 Jan di seluruh negara.

Dalam lawatan itu perdana menteri akan mengadakan majlis sembang dengan masyarakat setempat dan menghadiri sambutan 'Pesta Ponggal Sayangi Selangor - Bersama PM' anjuran BN Selangor di Padang Chethi, Klang bermula jam 9.30 pagi. 

Mohd Zin berkata, lawatan turun padang Najib, yang juga Pengerusi BN Selangor itu, adalah seiring dengan pegangan politiknya yang lebih terbuka iaitu menjadi perdana menteri untuk semua kaum.

Sementara itu, Mohd Zin berkata, BN Selangor kini berada dalam keadaan mantap untuk menghadapi PRU-13 dan lawatan perdana menteri ke Selangor akan memperkasa semangat serta keyakinan penduduk terhadap BN di Selangor.

Beliau berkata, Najib juga nampak mengambil langkah radikal bagi memenangi hati dan minda 1.9 juta penduduk kaum India di Malaysia sebagai mengikut jejak langkah Allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak Hussein, perdana menteri kedua negara.

"Sokongan masyarakat India di Selangor semakin meningkat untuk BN dalam tempoh masa enam bulan ini, dan kita yakin sokongan tersebut akan menjadi semakin mantap serta bertambah menjelang PRU13," katanya.

Mohd Zin berkata, BN Selangor bersama parti-parti komponen lain sudah menggerakkan jentera masing-masing dan akan melaksanakan beberapa pendekatan untuk menangani masalah masyarakat India di Selangor.

Beliau berkata, bagi pihak masyarakat itu, mereka berasa diperlukan apabila mereka melihat perdana menteri bergaul mesra dengan mereka, serta kesanggupan BN mengakui kesilapan.

"Masyarakat India kini sedar bahawa hanya Barisan Nasional mampu mendengar segala masalah dan menyelesaikannya. Rakyat juga boleh menilai segala janji sudah ditepati oleh BN di Selangor dalam tempoh empat tahun ini walaupun kerajaan negeri dikuasai oleh pakatang pembangkang," katanya.

Mohd Zin berkata, keikhlasan perdana menteri untuk membantu masyarakat India menandakan bermulanya era keyakinan baharu atau 'puthiya nambikei' untuk masyarakat itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment