My Add

Wednesday 16 January 2013

NUFAM hantar memo

PUTRAJAYA, SELASA, 15 Januari, 2013: Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) mengemukakan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri bagi merayu proses pembuangan undi sulit untuk pekerja anak kapal kabin Malaysian Airline System Bhd. (MAS) yang ditangguhkan Selasa lalu diadakan semula.

Presidennya, Ismail Nasaruddin berkata, pihaknya kecewa kerana Kementerian Sumber Manusia menangguhkan proses tersebut ke satu tarikh yang tidak dinyatakan tanpa memberi sebarang alasan kukuh.

Katanya, penundaan tersebut telah menimbulkan suasana tidak harmoni berlaku terhadap anak kapal MAS secara keseluruhan.

"Kami merayu kepada kerajaan untuk menyelesaikan segera masalah ini dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berdialog dengan para pekerja MAS bagi menyelesaikan konflik yang timbul.

"Kementerian Sumber Manusia sepatutnya bersikap adil terhadap lebih 3,000 pekerja MAS untuk memilih sendiri kesatuan mereka," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Bangunan Perdana Putra di sini.

Pada 8 Januari lalu, hak seramai 3,730 pekerja MAS yang berdaftar dengan NUFAM dan layak mengundi pada tahun ini bagi memilih calon ketuanya dinafikan setelah Kementerian Sumber Manusia mengumumkan penundaan pemilihan itu.

Penundaan proses pengundian yang dirancang diadakan selama 10 hari itu menyebabkan kesusahan kepada pekerja yang perlu mengundi pada hari tertentu dan kerugian kepada NUFAM dalam menyediakan proses undi sulit.

Dalam pada itu, Ismail berkata, pihaknya mendapati penangguhan itu telah melanggar Akta Perhubungan Perusahaan kerana undi sulit tersebut sah dan harus dijalankan tanpa halangan.

Sehubungan itu katanya, pihaknya menunggu kata putus daripada pihak pengurusan MAS dan kesatuan untuk memberikan tarikh baru undi sulit tersebut.

"NUFAM berharap ada langkah positif dengan memberi laluan kepada proses undi sulit itu berjalan semula agar tidak menimbulkan syak wasangka dan kehilangan kepercayaan terhadap sistem dan polisi Kementerian Sumber Manusia," katanya. - UTUSAN

1 comment:

  1. NUFAM telah menaikan isu pembatalan undi sulit ini kepada pihak pihak atasan kerajaan dan juga memaklumkan mengenai penindasan pekerja.

    NUFAM juga itu telah dimaklumkan bahawa isu ini akan ditengahkan di post-cab meeting.

    Kenyataan dan tuduhan oleh Kesatuan dalam MAS MASEU terhadap NUFAM adalah sama sekali tidak benar dan berdasarkan atas atas fitnah.

    Untuk mendapatkan kebenaran dari Maseu untuk mengadakan undi sulit di MAS juga tidak diperlukan di sini kerana Anak Kapal Kabin MAS ada hak untuk memilih perwakilan mereka sendiri.

    Ini adalah mengikut landasan perundangan dab Maseu tidak perlu masuk campur dalam hal ini

    Penentuan adalah diatas tangan pihak pekerja dan bukan atas tangan MASEU.

    ReplyDelete