My Add

Saturday 26 January 2013

Pemilihan CEC: Ahli DAP terus buat bantahan
SEREMBAN, SABTU, 26 Januari, 2013: Imej DAP yang kononnya sebuah parti yang demokrasi terus dipertikai oleh ahlinya sendiri apabila satu lagi bantahan berhubung pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) baru-baru ini, diadakan di depan bangunan pejabat DAP negeri, di sini, hari ini.

Beberapa ahli parti itu diketuai Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, David Dass berkumpul di depan bangunan pejabat itu di Kemayan Square di sini bagi mendesak pimpinan pusat parti membersihkan imej parti yang tercalar selepas apa yang didakwanya sebagai penipuan dalam pemilihan CEC.

"Kami sedia diambil tindakan oleh pihak jawatankuasa disiplin parti dan biarlah kami terkorban demi memastikan ketelusan dalam DAP dapat dilakukan," kata David kepada pemberita.

Beliau mendakwa pemilihan CEC yang dilaksanakan baru-baru ini jelas memperlihatkan parti itu mengenepikan kepentingan masyarakat India dalam parti apabila ahli India yang dipilih dalam CEC adalah dilantik, bukannya dipilih oleh ahli parti.

"Kita perlu tahu mana 'singa bertaring dan mana singa tidak bergigi'. Kalau setakat dilantik, pimpinan parti boleh melantik siapa saja yang mereka suka berbanding yang dipilih oleh ahli," katanya.

Beliau juga menafikan tindakan membuat bantahan itu adalah agenda tersembunyi untuk menghancurkan parti seperti yang didakwa beberapa pimpinan pusat parti itu sebelum ini.

Katanya, ia sebaliknya bertujuan untuk memastikan pemilihan yang diadakan lebih telus, malah beliau mendakwa tindakan itu turut mendapat sokongan sesetengah pimpinan pusat. 

"Kita ingin tegaskan bahawa tindakan yang kami lakukan ini tidak ada agenda tersembunyi dan ramai ahli seumur hidup dalam DAP berterus terang ikhlas dalam perjuangan parti dan mereka menuntut keadilan dalam pemilihan parti," katanya.

Ketika ditanya pemberita kemungkinan ahli DAP akan keluar parti ekoran ketidakpuasan hati mengenai pemilihan CEC, David berkata, perkara itu tidak mungkin berlaku memandangkan ramai lagi ahli masih sayangkan parti.

Katanya, tindakan keluar dari parti bukanlah sesuatu yang wajar untuk menyelesaikan krisis memandangkan terdapat saluran yang betul untuk membersihkan DAP dan mencari keadilan untuk ahli. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment