My Add

Tuesday 29 January 2013

Pendakwaan jenayah bakal dikenakan

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

TAWAU, ISNIN, 28 Januari, 2013: Kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk pendakwaan jenayah terhadap individu yang didapati bersalah berdasarkan pada laporan prosiding siasatan Jawatankuasa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang sedang dilaksanakan di negeri ini.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, pendengaran RCI yang bermula 14 Januari lalu juga akan membolehkan pihak berkuasa terbabit membetulkan kesilapan dan kelemahan yang dikenal pasti.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya perlu memastikan terdapat bukti yang mencukupi sebelum memulakan tindakan undang-undang.

"Jika disabitkan kesalahan jenayah, kita akan mengambil tindakan. Sekiranya ada kesilapan, kita akan betulkan sebab itulah kita adakan RCI," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak yang disempurnakan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria di sini hari ini.

Tambah Abdul Gani, terdapat perbezaan antara keterangan yang diberi mana-mana pihak sebelum pelaksanaan RCI atau semasa prosiding jenayah di mahkamah kerana dalam RCI apa sahaja yang dikatakan akan diterima meskipun tanpa sebarang bukti atau hanya berdasarkan khabar angin.

Sementara itu, beliau menegaskan kredibiliti dan integriti RCI adalah terjamin dan prosiding tersebut dilakukan dengan telus.

Katanya, testimoni daripada hampir 30 saksi semasa lima hari pendengaran baru-baru ini termasuk dakwaan berpuluh ribu kad pengenalan Malaysia dan dokumen lain diberi kepada rakyat asing di Sabah menunjukkan ketelusan kerajaan dalam perkara itu.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyatakan RCI mestilah telus sebab itulah butiran terperinci berkenaan turut dinyatakan," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment