My Add

Tuesday 29 January 2013

Projek FAC di Rambungan tertangguh ke Kabinet

KUCHING, ISNIN, 28 Jauari, 2013:- Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membawa rancangan membina Pusat Pentadbiran Persekutuan (FAC) di Rambungan di sini, yang tertangguh sejak beberapa tahun lalu ke mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau akan membangkitkan perkara itu bagi mencari penyelesaian dan pertimbangan sesuai seterusnya melaksanakan projek tersebut dengan segera.

Menurut beliau, Kerajaan Pusat bukan menolak melaksanakan projek tersebut, sebaliknya kos pembangunan tanah yang dicadangkan oleh pihak swasta agak tinggi iaitu hampir RM2 bilion.

"Kerajaan Pusat menyedari sekiranya projek tersebut dibangunkan, ia mampu memberi faedah dan manfaat kepada sektor pelancongan negeri dan penduduk di kawasan sekitar khususnya kepada para petani.

"Kita akan mengkaji perkara ini dan bekerjasama dengan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi meneliti konsep terbaik yang boleh diguna pakai untuk membina projek tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang penjawat awam pada Majlis Bersama Penjawat Awam yang turut dihadiri oleh Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman di sini, hari ini.

Majlis tersebut dihadiri oleh kira-kira 3,000 kakitangan awam terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri serta pemimpin-pemimpin masyarakat.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, selepas projek itu diluluskan Kerajaan Pusat bersedia menyalurkan peruntukan tersebut secara berperingkat-peringkat.

Katanya, kerajaan menyedari projek tersebut berperanan sebagai pemangkin pembangunan bersepadu di kawasan utara barat Kuching selain memudahkan orang ramai berurusan dengan kerajaan.

Buat masa ini, tambah beliau, orang ramai yang mempunyai urusan rasmi akan ke Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Bangunan Sultan Iskandar di Jalan Simpang Tiga di sini, yang sedang dinaik taraf. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment