My Add

Saturday 12 January 2013

Polis buru lima lelaki cuba samun ATM di Wangsa Maju

KUALA LUMPUR, SABTU, SABTU, 12 Januari, 2013: Polis memburu lima lelaki tempatan setelah mereka gagal melarikan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah stesen minyak di Seksyen 10, Wangsa Maju di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu, lima lelaki terbabit memecahkan dinding cermin dan cuba menarik keluar mesin ATM itu menggunakan seutas tali dipanggil tali lam yang disambungkan kepada sebuah kenderaan jenis Hyundai berwarna perak.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, cubaan mereka pada pukul 2.30 pagi itu bagaimanapun gagal setelah tali yang diikat pada mesin itu putus.

“Dua suspek menaiki kereta manakala tiga lagi menunggang motosikal jenis Yamaha 125z berwarna hitam dan Yamaha RXZ kuning.

“Kesemua suspek yang berusia lingkungan 20-an melarikan diri dengan kenderaan masing-masing tanpa nombor pendaftaran dipercayai telah ditanggalkan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Zakaria, pihaknya sedang mengesan kesemua suspek walaupun ketika kejadian mereka menggunakan sarung tangan dan topi keledar bagi mengelak identiti dikenal pasti.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata berkumpulan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment