My Add

Sunday 6 January 2013

Rakyat diingat berhati-hati dengan slogan 'perubahan' laungan pembangkang

PEKAN, SABTU, 05 Januari, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat supaya berhati-hati dengan slogan 'perubahan' yang dijanjikan pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kelak.

Tegas Perdana Menteri, bukan semua perubahan menjanjikan keadaan yang lebih baik kerana terdapat perubahan yang membawa kepada kekecewaan apabila hasilnya tidak seperti diharapkan.

Mengambil contoh di Tunisia, kata Najib, kadar pengangguran sebelum berlaku Arab Spring adalah sebanyak 13 peratus namun jumlahnya kini mencecah kepada 18 peratus.

"Ini menunjukkan kalau kita tak buat perubahan terancang dan sistematik, kita akan peroleh satu keberhasilan yang mengecewakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra dan Minum Petang Bersama Pemimpin Masyarakat dan Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis dekat sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Khairuddin Mahmud.

Sementara itu, Najib berkata, beliau bersyukur apabila hari demi hari rakyat semakin faham yang satu undi untuk Barisan Nasional (BN) bermakna undi untuk masa depan yang lebih baik dan terjamin.

Kata Perdana Menteri, rakyat juga pada masa sama faham satu undi untuk pembangkang bererti satu undi untuk masa depan tidak menentu dan mungkin ke arah keadaan yang merugikan semua.

"Ini dapat dilihat daripada cara kita tadbir negara bagaimana agenda transformasi yang dijalankan memberi keyakinan kepada dunia hingga penarafan daya saing kita berada di tangga ke -14, sebaris dengan negara maju.

"Justeru perubahan tidak semesti bawa keadaan lebih baik, tetapi dengan BN walau kita sudah perintah lebih 50 tahun, namun dari satu peringkat ke satu peringkat, negara kita bertambah lebih maju," ujarnya.

Dalam pada itu, Najib turut meluangkan masa menziarahi bekas Ketua UMNO Cawangan Tanah Putih, Pekan, Sheikh Osman Sheikh Ahmad, 71, dan pesakit kronik, Mohd. Tahir Awang, 75, di Kampung Sri Damai.

Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan peribadi yang merupakan alat bantuan pernafasan kepada Mohd. Tahir. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment