My Add

Wednesday 2 January 2013

Rancangan 5 tahun Oman buka peluang kepada syarikat Malaysia

KUALA LUMPUR, SELASA, 01 Januari, 2013: Oman dan Malaysia telah mengekalkan hubungan diplomatik sepanjang 29 tahun lepas, dan hubungan dua hala kedua-dua negara semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Menurut Duta Oman ke Malaysia, Aflah Sulaiman Mohammed Al-Taei, hubungan dua hala, yang meliputi banyak bidang seperti dagangan dan ekonomi, pelajaran, pembangunan sosial, pertahanan dan pembangunan kebudayaan bukan hanya menggambarkan hubungan yang baik, tetapi juga membuka peluang kepada perniagaan kedua-dua negara.

Berkongsi pandangannya dengan Bernama tentang apa yang disifatkannya sebagai hubungan dua hala yang sempurna, Duta itu memberi penerangan tentang rancangan lima tahun Oman (2011-2015), yang membuahkan peluang perniagaan untuk syarikat-syarikat Malaysia.

Di bawah rancangan itu, AS$10 bilion (RM30.5 bilion) telah diperuntukkan untuk projek pembinaan, AS$12 bilion (RM36.6 bilion) untuk projek kereta api dan AS$3.5 bilion (RM10.68 bilion) untuk projek-projek berkaitan jalan raya dan lebuh raya, katanya.

Sektor lain yang telah melihat kerjasama rapat ialah minyak dan gas di mana Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) menandatangani satu perjanjian perkongsian cari gali dan pengeluaran (EPSA) dengan kerajaan Oman untuk konsesi Natih/West Raba, kata Duta itu.

Pembekal perkhidmatan kejuruteraan lapangan minyak utama Oman dan anak syarikat MB Holdings LLC, United Engineering Services (UES), juga telah membeli dua syarikat Malaysia - Professional Power Craft (PPC) International Sdn. Bhd. dan Wise Marine.

Tahun 2012 juga melihat satu lagi perkembangan penting - promosi 1Malaysia, yang dianjurkan oleh Matrade, di Muscat mulai 28 April hingga 29 April. Misi dagangan itu, diketuai oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, melibatkan satu delegasi 50 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan 40 syarikat swasta.

"Pameran ini telah membuka pelbagai peluang untuk kedua-dua negara," katanya, menambah bahawa syarikat-syarikat Malaysia telah mencatatkan potensi jualan sebanyak RM22.9 juta.

Beliau berkata, dagangan dua hala juga meningkat sebanyak 16.1 peratus, mencecah AS$740.5 juta pada 2011 daripada AS$265.30 juta pada 2010.

Katanya lagi, eksport Malaysia ke Oman telah meningkat 25.6 peratus, mencecah US$238 juta pada 2011 sementara import Malaysia daripada Oman, kebanyakannya produk minyak dan petroleum, dicatatkan pada AS$502.5 juta.

Mengenai sektor pelajaran, beliau berkata, kira-kira 1,300 pelajar dari Oman sedang melanjutkan pelajaran di pelbagai universiti dan kolej antarabangsa di Malaysia.

Aflah Sulaiman berkata, Malaysia juga telah menarik ramai pelancong Oman dengan 30,000 orang pelawat Oman tiba ke Malaysia pada 2011 berbanding 24,000 pada tahun sebelumnya.

Sambil berkata, beliau berharap bahawa hubungan Oman dan Malaysia akan terus diperkukuhkan pada 2013, beliau memberitahu bahawa seramai 1,000 rakyat Malaysia kini bertugas di Oman dalam bidang pelajaran, perubatan, pembinaan serta minyak dan gas.— BERNAMA

No comments:

Post a Comment